Anda di sini

ESSCom gagalkan cubaan seludup kayu bergergaji

Advertisement
 150 batang kayu bergergaji yang dirampas APMM ketika melaksanakan rondaan rutin di perairan Tabo-Tabo, Semporna.

KECUNDANG: 150 batang kayu bergergaji yang dirampas APMM ketika melaksanakan rondaan rutin di perairan Tabo-Tabo, Semporna.

LAHAD DATU: Pasukan Keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah menggagalkan cubaan seorang lelaki menyeludup 150 keping kayu bergergaji dalam satu operasi yang dilakukan di sekitar perairan Tobo-Tobo, Semporna pada Khamis.

Komander ESSCom DCP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid dalam satu kenyataan di sini berkata kesemua kayu berkenaan dipercayai ditebang dan diperolehi secara haram daripada kawasan hutan berhampiran tanpa permit daripada Jabatan Perhutanan.

Beliau berkata ketika kejadian, sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Semporna yang sedang melakukan rondaan rutin menggunakan bot Seahawk 2117, terserempak dengan sebuah bot yang sedang menunda kayu dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila bot dikejar dan dihampiri untuk tujuan pemeriksaan, pemilik bot berkenaan bertindak memotong tali tunda kayu kemudian melarikan diri. Hasil pemeriksaan terdapat lebih kurang 150 batang kayu bergergaji ditinggalkan tanpa dokumen daripada Jabatan Perhutanan.

“Semua batang kayu berkenaan telah dibawa ke Pangkalan Maritim Semporna untuk tujuan siasatan di bawah Enakmen Hutan dan Peraturan-Peraturan Hutan 1969 dan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan untuk tindakan selanjut.”

“Turut dirampas sebuah bot laju dan enjin sangkut Yamaha 40 hp yang digunakan oleh suspek dalam aktiviti berkenaan,” katanya.

Sementara itu, dalam pelbagai operasi berasingan di daerah Semporna, Pasukan Polis Marin (PPM) menahan lima pendatang asing tanpa izin (PTI) warga Filipina termasuk juragan bot berkenaan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dalam satu operasi di kawasan perairan Nusa Kuya, Semporna pada Isnin manakala dalam Ops Gelora di daerah yang sama, PPM Semporna turut menahan dua warga Filipina berumur 19 dan 30 tahun atas kesalahan menyeludup 19 jerikin disyaki minyak petrol di perairan antara Pulau Denawan dan Omadal, Semporna dalam Operasi pada Rabu.

Beliau berkata pasukan keselamatan turut menahan dan menyita 2 perahu, 7 bot pam, 1 unit enjin sangkut Yamaha 75 hp dan 7 enjin pam yang digunakan oleh suspek atas pelbagai kesalahan yang dianggarkan bernilai RM112,000.00.

“Semua tangkapan dan rampasan akan disiasat di bawah Akta Kawalan bekalan 1961, Akta Imigresen 1959 (Pindaan 2002) dan  Seksyen 474 Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 dan akan diserahkan kepada agensi penguat kuasa yang berkaitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Wan Abdul Bari mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi keselamatan yang telah melaksanakan pelbagai operas penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI ke negara ini.

Beliau berkata kejayaan ini merupakan usaha berterusan ESSCom dengan kerjasama semua pasukan keselamatan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bagi memastikan perairan negara sentiasa terkawal dan tidak mudah dibolosi oleh penjenayah yang sentiasa mencari ruang untuk membawa masuk dan keluar barang-barang terkawal dan bersubsidi ke negara jiran.

Advertisement