Anda di sini

Tiga warga emas terima anugerah khas sempena Hari Warga Emas

Advertisement

TENOM: Tiga warga emas masing-masing menerima anugerah khas kategori pasangan dan individu sempena Hari Warga Emas Peringkat negeri yang diadakan di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom, di sini, kelmarin.

Mereka terdiri Majid Ismail, 77, dan Sainah Tumin, 68, dari Kampung Chinta Mata bagi kategori pasangan, Rantin Surangking, 66, dari Kampung Langsat Melalap bagi kategori individu lelaki dan Theresa Sinian Jimbun, 72, dari Kampung Bunut bagi kategori individu wanita.

Yang di-Pertua Negeri Tun (Dr) Juhar Mahiruddin telah merasmikan majlis itu. Tun Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni turut menyampaikan anugerah kepada para penerima.

Terdahulu dalam ucapannya yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri panglima Radin Malleh, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata warga emas merupakan warga yang penuh pengalaman dan mempunyai kepakaran serta kemahiran yang tidak ternilai.

Katanya selaku golongan yang lebih awal melalui asam garam kehidupan, mereka telah banyak memberi sumbangan, nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar selama ini, malah masih menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara.

“Kita telah pun melaksanakan pelbagai langkah dan program untuk membantu warga emas menikmati kehidupan yang lebih baik dan selesa.

“Buktinya, pada setiap tahun kerajaan menyediakan peruntukan yang besar kepada kementerian dan jabatan berkaitan serta persatuan-persatuan warga emas bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti yang telah dirancang,” katanya.

Musa berkata sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab membela nasib semua lapisan rakyat, setiap tahun kerajaan pusat dan negeri menyalurkan peruntukan yang besar untuk golongan yang memerlukan.

Katanya ia termasuklah keluarga miskin, kanak-kanak, warga emas miskin dan orang kelainan upaya (OKU).

Dalam konteks kerajaan negeri pula, katanya, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM59.24 juta untuk kebajikan dan keperluan warga emas, OKU, orang miskin dan anak yatim.

“Ini termasuklah mengurus perbelanjaan operasi untuk tiga buah rumah warga tua di Sabah iaitu Rumah Warga Tua Sri Pritchard Kinarut Papar, Rumah Warga Tua Air Panas Tawau dan Rumah Warga Tua Sandakan yang berjumlah hampir RM1.8 juta setahun.

“Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, menjelang tahun 2030, Malaysia akan menjadi ‘negara tua’ dengan 15 peratus daripada jumlah penduduknya terdiri daripada golongan yang berumur 60 tahun ke atas.

“Ini adalah hasil bertambahnya kualiti hidup yang lebih baik dan peningkatan dalam penjagaan kesihatan yang menyumbang jangka hayat lebih panjang iaitu 72.6 tahun untuk lelaki dan 77.2 tahun bagi wanita,” katanya.

Justeru, Musa berkata kerajaan pusat menerusi Dasar Warga Emas Negara menyatakan komitmennya untuk mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara.

Dalam konteks itu, katanya, kerajaan negeri juga sentiasa memberikan sokongan kepada apa juga program dan aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan, dan buktinya pelbagai program dengan peruntukan besar yang disalurkan oleh kerajaan untuk semua lapisan rakyat termasuklah warga emas.

“Kita juga akan terus memastikan bahawa tidak ada kelompok masyarakat yang tertinggal daripada menikmati pembangunan dan kemakmuran yang kita kecapi di negeri ini. Mereka yang kurang bernasib baik tidak akan terpinggir atau tersisih sebaliknya, akan terus mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan,” katanya.

Musa menyarankan agar sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mempergiatkan program berbentuk tanggungjawab sosial kepada masyarakat (CSR) khususnya golongan yang memerlukan termasuklah warga emas.

Beliau percaya dengan adanya komitmen kerajaan ditambah lagi dengan sokongan dan penglibatan semua pihak, akan dapat membudayakan amalan masyarakat penyayang dan menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan seluruh lapisan rakyat.

Hadir sama pada majlis itu, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Anita Baranting, Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi, isteri Radin Datin Seri Angeline Tom, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Janet Chee, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sabah Noor Wahab, dan Pegawai Daerah Madiyem Layapan.

Advertisement