Anda di sini

Perhatian serius tadbir urus bandar

Advertisement

KOTA KINABALU: Sistem tadbir urus yang baik dan berkesan merupakan komponen penting dalam mencapai tahap `Bandaraya Berdaya Huni’.

Menteri Kerajaan tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata sistem itu perlu diterap dan dijadikan tonggak serta pelengkap kepada kesemua komponen Bandaraya Berdaya Huni.

“Oleh itu, sudah tiba masanya aspek tadbir urus pengurusan bandar diberi perhatian serius,” katanya berucap pada majlis perasmian Persidangan Perancagan Negeri Sabah sempena Hari Perancang Bandar Sedunia 2016.

Persidangan itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman di Magellan Sutera Harbour Resort, di sini.

Hajiji berkata setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah memikul tanggungjawab yang berat dalam mengurus keperluan rakyat di daerah masing-masing.

“Jika dahulu, peranan PBT hanya tertumpu kepada beberapa perkara seperti pelesenan, kebersihan, pengurusan sisa pepejal dan kawasan pembangunan, hari ini peranan berkenaan sudah berubah atau bertambah,” katanya.

Katanya dengan pertambahan penduduk bandar dan pada masa sama keperluan perkhidmatan yang lebih mendesak, menyebabkan PBT secara amnya tidak dapat menjana sumber mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk yang semakin dinamik.

“Hal ini kalau gagal ditangani dengan baik akan membantutkan usaha kita menjadikan bandar-bandar di negeri ini sebagai Bandaraya Berdaya Huni,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata Pelan Struktur Sabah 2033 (PSS2033) merupakan inisiatif terpenting dalam konteks tadir urus pengurusan bandar di negeri ini kerana ia merupakan satu-satunya dokumen statutori yang telah dirangka dengan rapi.

“PSS2033 telah merumus dasar-dasar yang rasional nagi memastikan pembangunan mampan dan bandar-bandar kita membangun berlandaskan konsep Bandaraya Huni atau `liveable cities’,” katanya.

Beliau menjelaskan pelan itu telah menggariskan dasar-dasar perancangan secara makro sebagai panduan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan serta PBT di negeri ini.

Katanya semua PBT perlu mengambil serius tentang PSS2033 dan memastikan penyediaan pelan daerah dan pelan tempatan serta garis panduan perancangan adalah berlandaskan dasar-dasar yang terkandung dalam pelan berkenaan.

“Pada masa yang sama, JPBW perlu memantau pelaksanaan dasar-dasar yang terkandung dalam PSS2033 ini,” katanya.

Advertisement