Anda di sini

Pelan Struktur Sabah 2033 dilancar

Advertisement
 Musa (barisan depan, tengah) bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Hajiji Noor serta para Menteri Kabinet  dan peserta persidangan menunjukkan isyarat bagus.

SELESA UNTUK DIHUNI : Musa (barisan depan, tengah) bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Hajiji Noor serta para Menteri Kabinet dan peserta persidangan menunjukkan isyarat bagus.

Pelan struktur penting untuk pembangunan jangka panjang Sabah: KM

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) melalui Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPNW) telah berjaya menyiapkan Pelan Struktur Sabah 2033 (PSS2033).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata pelan struktur itu amat penting untuk pembangunan jangka panjang negeri ini.

“Ia dirumuskan melalui dasar-dasar strategik bagi menentukan arah dan corak pembangunan fizikal negeri untuk jangka masa dua puluh tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Hari Perancang Bandar Sedunia 2016 yang bertemakan `Tadbir Urus Ke Arah Bandaraya Berdaya Huni di Sabah’ serta melancarkan PSS2033 di sini kelmarin.

Sambil mengucapkan syabas dan tahniah kepada JPBW Sabah atas kejayaan menyempurnakan penyediaan PSS2033, Musa berkata pelan struktur itu telah diluluskan oleh Kabinet Negeri pada Jun 2016.

Beliau berkata PSS2033 mempunyai wawasan menjadikan Sabah sebagai negeri yang mempunyai persekitaran bertaraf dunia iaitu tempat untuk tinggal, bekerja, belajar, melawat dan sebagai tempat pelaburan perniagaan yang kondusif, seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan.

“Rakyat Sabah akan menikmati kualiti hidup tinggi dan sejahtera, di dalam persekitaran yang diurus dengan baik dengan sistem perhubungan, pengangkutan dan ekonomi yang mampan,” katanya.

Musa juga merakamkan ucapan tahniah kepada JPBW dengan kerjasama WWF Malaysia dan Majlis Daerah Semporna yang memenangi anugerah pencapaian cemerlang di peringkat antarbangsa melalui ‘Project Marine Spatial Plan Semporna’.

Ia telah dianugerahkan oleh Royal Town Planning Institute (RTPI), London, UK pada bulan Mei 2016 yang lalu.

“Tentunya pencapaian ini merupakan satu kebanggaan kepada kita, negeri Sabah yang telah berjaya melakar sejarah di persada dunia.

“Ia juga menjadi bukti pengiktirafan negeri ini sebagai pengamal perancang bandar terbaik di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Musa berkata dalam arus pembangunan negara khususnya negeri Sabah hari ini, tadbir urus dalam pengurusan bandar semakin menjadi perhatian masyarakat.

Katanya ia kerana, tadbir urus pengurusan bandar adalah satu perkara yang amat mustahak yang perlu dititikberatkan oleh PBT di negeri ini.

Justeru, beliau menyifatkan penganjuran Persidangan Hari Perancang Bandar Sedunia 2016 bertepatan pada masanya memandangkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan ketika ini telah memulakan langkah dan usaha untuk melaksanakan beberapa inisiatif serta program ke arah meningkatkan keupayaan sistem urus di pelbagai peringkat pentadbiran kerajaan.

“Antaranya Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang memberi penekanan terhadap peningkatan kualiti penyampaian kerajaan.

“Pengenalan pelbagai inisiatif penting ini juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan bagi memperkasakan peranan sektor awam dalam menggerakkan agenda pembangunan negara,” katanya.

Musa berkata sistem tadbir urus yang berkesan merupakan salah satu faktor terpenting yang menyumbang kepada keselesaan bandar untuk dihuni.

Sehubungan itu, katanya, persidangan itu amat penting kerana ia dapat mendedahkan kepada para peserta khususnya warga perancang bandar tentang kepentingan memantapkan tadbir urus sektor awam bagi menjaga serta memelihara kepentingan rakyat.

“Dalam konteks ini, untuk menjamin keyakinan rakyat terhadap kerajaan, kita juga perlu menjana dan menambah baik perkhidmatan di peringkat pihak berkuasa tempatan.

“Ini kerana, pihak berkuasa tempatan merupakan frontliner dalam perkhidmatan kerajaan yang berurusan secara terus dengan rakyat.

“Sekiranya kita dapat memperkukuhkan perkhidmatan kerajaan di peringkat PBT melalui pengenalan sistem tadbir urus terbaik ini, maka saya yakin kita akan dapat melonjakkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam dan imej kerajaan pada keseluruhannya,” katanya.

Advertisement