Anda di sini

Kapal nelayan dirompak lelaki bersenjata api di perairan Beluran

Advertisement

BELURAN: Enam lelaki bersenjata api merompak sebuah kapal nelayan di perairan dekat Pulau Jambongan, Beluran pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Beluran Supt Sivanathan Velautham yang mengesahkan kejadian itu berkata laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh juragan kapal nelayan itu yang berusia 40, warganegara Filipina.

Katanya laporan diterima pada jam 1.22 pagi kelmarin di Ibu Pejabat Polis Beluran dan juragan kapal nelayan lambat membuat laporan polis disebabkan lokasi kejadian yang jauh.

Menurutnya kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika juragan itu bersama lapan anak kapalnya sedang memancing.

Tiba tiba sebuah bot panjang dinaiki enam lelaki membawa senjata api menghampiri kapal nelayan  itu, kata Sivanathan dalam satu kenyataan, kelmarin Beliau berkata dua daripada lelaki yang memegang senjata api panjang dan dipercayai jenis M203 dan M16 telah mengarahkan mereka untuk menyerahkan wang mereka jika mereka ingin selamat.

Katanya juragan kapal mendakwa dia berbahasa Tagaloq dengan kumpulan lelaki itu dan memberitahu bahawa mereka sudah tiada duit.

Menurutnya kumpulan lelaki itu kemudian mengambil hasil tangkapan ikan seberat 500 kilogram dan minyak diesel lebih kurang 500 liter serta satu unit GPS daripada kapal nelayan itu.

Juragan kapal nelayan itu mendakwa kesemua lelaki itu beredar menuju ke arah perairan Filipina, katanya.

Sivanathan berkata juragan dan anak kapalnya yang tinggal di Kudat tidak diapa-apakan dalam kejadian itu.

Menurutnya siasatan dibuat di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api 1971. — Bernama

Advertisement