Anda di sini

Pertukaran budaya penting untuk hubungan dua hala

Advertisement

KOTA KINABALU: Pertukaran budaya antara China dan Malaysia adalah penting untuk hubungan dua hala dalam mempromosikan pemahaman yang lebih baik antara kedua-dua negara, kata Konsul Jeneral China di Sabah Chen Peijie.

Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan persembahan drama tari masyarakat Islam, etnik minoriti Hui yang pertama kali diadakan di sini malam kelmarin, Chen berkata ia boleh dijadikan platform memperkenalkan etnik Hui di negara China dan kewujudan masyarakat Islam di China kepada rakyat Sabah.

“Saya rasa ia boleh membantu mengeratkan persahabatan dua hala antara China

dan Malaysia, terutama Sabah. Rakyat Sabah juga mempunyai pelbagai kumpulan

etnik termasuk Cina dan mereka suka budaya China seperti tarian dan Kung Fu,” katanya.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M. Jasni dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Drama tari tradisional ‘The Moon Over Helan Mountain’, dipentaskan oleh masyarakat Islam Hui, kumpulan Yinchuan Art dan berlangsung lebih satu jam.

Drama tari itu antara lain, menceritakan mengenai kisah cinta seorang pemuda Islam dari Wilayah Barat, yang mengembara melalui padang pasir dan di seluruh lembah Sungai Kuning dengan bantuan seorang wanita tempatan, etnik Han. Pemuda Islam dan wanita etnik Han itu kemudiannya jatuh cinta.

Kerana cinta sejati, pasangan itu yang berbeza etnik, budaya dan agama,

sanggup bersumpah di kaki Gunung Helan dan menetap di sana.

Chen berkata kisah itu adalah sama seperti suasana di Sabah, dengan kepelbagaian kaum dan budaya, tetapi rakyatnya dapat hidup bersama-sama dalam suasana harmoni.

Kira-kira 3,000 penonton menyaksikan persembahan kebudayaan itu anjuran kerajaan Yinchuan dan Persatuan Persahabatan Ma-Zhong Sabah. — Bernama

Advertisement