Anda di sini

Hubungan baik negeri, pusat penting untuk pembangunan

Advertisement
 Musa (lima, kanan) bersama peneroka di Kampung Montenior ketika pelancaran Projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di kampung itu semalam. — Gambar Bernama

BASMI KEMISKINAN: Musa (lima, kanan) bersama peneroka di Kampung Montenior ketika pelancaran Projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di kampung itu semalam. — Gambar Bernama

Segala dana atau peruntukan adalah dari k’jaan persekutuan

BEAUFORT: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata hubungan baik dan kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat sangat penting bagi merancakkan lagi pembangunan di Sabah.

Beliau berkata ia penting kerana segala dana atau peruntukan pembangunan khususnya projek yang menelan perbelanjaan besar seperti jalan raya adalah dari kerajaan persekutuan.

“Oleh itu kita perlu terus mempertingkatkan dan memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua pihak demi kesejahteraan semua rakyat di negeri ini, khususnya penduduk di kawasan luar bandar.

“Kalau projek besar kita perlu meminta bantuan dana daripada kerajaan pusat, namun bagi projek-projek kecil kerajaan negeri sendiri akan mengeluarkan peruntukan,” katanya ketika berucap merasmikan projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Kampung Montenior yang terletak kira-kira 15 kilometer dari pekan Beaufort.

Hadir sama dua Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun yang juga Ahli Parlimen Beaufort serta beberapa menteri Kabinet negeri termasuk Menteri Belia dan Sukan Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Mengenai projek MESEJ, Musa berkata sebanyak 33 peserta daripada kalangan miskin tegar yang berdaftar dengan e-Kasih di daerah itu telah dipilih untuk tinggal dan bekerja di MESEJ Kampung Montenior.

Katanya program berkenaan bertujuan untuk membasmi kemiskinan secara holistik bagi membolehkan golongan sasar menikmati kemudahan kediaman yang telah disediakan, sekali gus meningkatkan ekonomi peserta yang telah dipilih.

“Projek MESEJ Kampung Montenior merupakan  satu daripada 52 MESEJ yang terdapat di Sabah dan ia mempunyai keluasan kira-kira 100 hektar serta telah ditanami dengan getah,” katanya.

Dalam pada itu, Musa sekali lagi mengingatkan rakyat di negeri ini agar tidak terpedaya dengan tipu muslihat pihak pembangkang, termasuk parti yang baharu ditubuhkan di Sabah.

“Agenda parti pembangkang baharu atau lama itu hanya bertujuan untuk menghancurkan perpaduan yang sedia terjalin sekali gus menanam kebencian rakyat kepada kerajaan yang akhirnya hanya merugikan rakyat terutama dari segi pembangunan,” katanya. — Bernama

Advertisement