Anda di sini

Bekas polis kekal dipenjara seumur hidup kerana edar senjata api

Advertisement

KOTA KINABALU: Mah-kamah Persekutuan di sini kelmarin, mengekalkan hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan terhadap seorang bekas polis, atas kesalahan mengedar senjata api milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hakim Besar Malaya Tan Sri Datuk Zulkifli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, dan tiga korum Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahamd Maarop, Tan Sri Hasan Lah dan Datuk Balia Hj Wahi membuat keputusan itu terhadap Ignatius James, 37.

Dalam penghakiman itu, mahkamah menyatakan sabitan ke atas perayu adalah selamat dan rayuan diketepikan.

Pada 29 Julai 2011, Ignatius dijatuhkan hukuman itu selepas didapati bersalah oleh hakim Mahkamah Tinggi, selepas di peringkat akhir pembelaan.

Kesalahan pertama, perayu menjual dua laras senjata api di kedai Sendayu Tinggi, Tenom. Manakala kedua, perayu sekali lagi didapati menjual senjata api di kawasan Balai Polis Daerah Tenom, pada hujung tahun 2006.

Perayu didakwa mengikut Seksyen 7 (1) Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) (Akta 37), memperuntukkan hukuman bunuh atau penjara seumur hidup, dan tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pada 20 Januari 2014, rayuan Ignatius yang diwakili peguam Hamid Ismail turut diketepikan Mahkamah Rayuan.

Terdahulu, Hamid berhujah bahawa pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa kejadian benar-benar berlaku pada hujung tahun Disember 2005, melibatkan transaksi pembelian senjata api.

Menurutnya, semasa pembelaan perayu tidak disoal balas oleh pihak pendakwaan, dan ini menyebabkan sabitan ke atasnya tidak selamat.

Timbalan Pendakwaraya Datuk Ahamad Kamal mengatakan, keterangan bukti dari saksi PW11 dan PW15, semasa berlakunya transaksi adalah berlainan.

Tambahnya, ia bukan merupakan material penting kepada kes pendakwaan yang mana akhirnya, semua senjata api berkenaaan dapat dikenal pasti oleh PW11 dan PW15.

Tiada sebab untuk keterangan daripada kedua-dua saksi terbabit adalah tidak boleh dipercayai, dan hakim perbicaraan sudah menilai secara maksimum sebelum sabitan dikenakan.

Advertisement