Anda di sini

Perlindungan ikan yu penting untuk pelancongan

Advertisement

 Masidi (dua kanan) menyerahkan sijil pengiktirafan kepada wakil salah sebuah hotel yang tidak menggunakan produk ikan yu dalam restoran mereka, turut kelihatan ialah Yeo (kanan).

DIIKTIRAF: Masidi (dua kanan) menyerahkan sijil pengiktirafan kepada wakil salah sebuah hotel yang tidak menggunakan produk ikan yu dalam restoran mereka, turut kelihatan ialah Yeo (kanan).

KOTA KINABALU: Per-lindungan dan pemeliharaan ikan yu di sekitar perairan Sabah sangat penting untuk pertumbuhan ekonomi sektor pelancongan dan manfaat generasi akan datang.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun tetap bertegas dengan pendiriannya untuk melindungi spesies ikan yu yang terdapat di perairan Sabah.

“Untuk aktiviti menyelam dalam sektor pelancongan, hampir 82 peratus pelancong asing yang datang menyelam di sekitar perairan Sabah ingin melihat ikan yu dalam habitatnya.

“Industri itu sahaja telah menyumbangkan sebanyak RM350 juta sehingga RM380 juta setahun dalam sektor pelancongan,” katanya ketika merasmikan sesi dialog perniagaan ‘My Fin My Life’ (MFML), di sini kelmarin.

Beliau berkata sekiranya pemburuan ikan yu tidak dibendung, maka jumlah hidupan itu berkurangan sekali gus menjejaskan sektor pelancongan di Sabah dan memberi peluang kepada negara jiran menarik pelancong yang ingin melihat sendiri habitat hidupan itu.

Selain itu katanya, ia juga menjejaskan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan memandangkan hanya sektor pelancongan sahaja yang mempunyai lebih 90 peratus pekerja tempatan.

“Ini adalah satu legasi yang kita mahu tunjukkan kepada rakyat Sabah, kita mahu lebih banyak orang Sabah terus bekerja dalam sektor pelancongan.

“Kepada pengusaha restoran, sekiranya kurang pelancong datang ke Sabah, pendapatan dan kedatangan pelancong ke restoran mereka turut terjejas,” katanya.

Masidi menggesa supaya mereka bukan hanya mengejar keuntungan sehingga menjejaskan satu sektor industri besar yang mampu memberikan kesan jangka panjang.

“Kita perlu memberikan perlindungan kepada spesies yu ini. Taman-taman hidupan laut kita juga telah ditambahbaik untuk dijadikan kawasan hidupan ikan yu.

“Ini antara usaha yang kerajaan lakukan untuk melindungi hidupan serta habitat yu dan usaha itu sedang dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai berkata, Malaysia kini berada dalam kedudukan kesembilan dunia pengeluar terbesar produk yu dan berada di kedudukan ketiga terbesar dari segi mengimport produk berkenaan.

Katanya berdasarkan ‘The Food and Agriculture Organization of the United Nation’ pada tahun 2015, sejumlah 84 peratus aktiviti mengimport sirip ikan yu dilakukan oleh negara ini.

“Dianggarkan sejumlah 1.4 juta tan sirip ikan yu dimakan atau 100 juta ikan yu dibunuh setiap tahun.

“Secara globalnya, ikan yu berhadapan risiko kepupusan memandangkan permintaan untuk produk itu khususnya di negara-negara Asia adalah tinggi selain digunakan untuk produk kosmetik dan kesihatan.

“Dengan keadaan itu, kita perlu bertindak sekarang dan mewujudkan kesedaran mengenai penurunan jumlah ikan yu di laut,” katanya.

Katanya, semua pihak tidak kira pengguna, peniaga, kerajaan dan pihak berkaitan, mempunyai kuasa untuk bekerjasama membantu memelihara habitan ikan yu dan juga ekosistem hidupan laut yang lain di Sabah.

Advertisement