Anda di sini

KPDNKK jamin bekalan minyak masak mencukupi

Advertisement

PUTATAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah memberi jaminan bahawa bekalan minyak masak di negeri ini mencukupi.

Pengarah KPDNKK Sabah Yahya Sulaiman berkata, berdasarkan pemantauan yang dijalankan bekalan minyak masak bagi bandar raya ini sahaja adalah sebanyak 191.41 tan metrik sebulan.

“Mulai minggu lepas lagi, kita sudah melaksanakan operasi pemantauan di setiap pemborong minyak masak rentetan apa yang berlaku di Semenanjung.

“Kebanyakan tempat yang kita lawat juga terutamanya di pasar raya besar mendapati bekalan minyak masak masih ada dan kita jangkakan jumlah bekalan ini akan terus bertahan sehingga stok seterusnya tiba,” katanya pada sidang media pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2016 di sini, kelmarin.

Sehubungan itu, beliau meminta pengguna supaya tidak mudah mempercayai dakwaan kekurangan keperluan asas berkenaan dan berharap pengguna dapat meneruskan perbelanjaan bahan itu secara berhemah.

Selain itu katanya, bekalan barang terkawal yang lain seperti gula dan tepung juga masih mencukupi dan tiada sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan dari bandar hingga kawasan pedalaman negeri ini.

“Semua keadaan terkawal dan berharap pengguna tidak panik kerana kita sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa termasuk bekerjasama dengan pelbagai pihak.

“Justeru, kita harapkan agar semua pihak dapat memberi sokongan bagi memastikan tiada isu seludup barangan terkawal. Pihak kita tidak akan berkompromi berkaitan isu sebegini melainkan mengambil tindakan tegas,” katanya.

Mengenai pelancaran skim kawalan harga pula, Yahya berkata ia akan berkuat kuasa bermula 19 Oktober hingga 1 November tahun ini sempena sambutan perayaan Deepavali.

Katanya, sebanyak 18 jenis barangan harga kawalan iaitu ayam, telur, sayuran, tomato, cili merah, kelapa, bawang merah, bawang besar, ubi kentang import dan kacang dhal.

Setakat ini skatanya, setiap barangan kawalan itu didapati masih dijual pada harga yang jauh lebih murah jika dibandingkan dengan harga kawalan yang dikenakan.

“Justeru, kita harapkan semua peniaga dapat meneruskan kawalan harga seperti ini bagi membantu pengguna mengurangkan kos sara hidup terutamanya pada musim perayaan seperti ini,” jelasnya.

Sementara itu, Yahya berkata sebanyak tiga kes kesalahan yang dikenal pasti sejak bulan ini melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 akibat gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Skuad Pengguna Negeri Sabah Aminah Ambrose.

Advertisement