Anda di sini

Polis serbu kawasan penempatan PATI

Advertisement
 Beberapa warga asing yang bersembunyi di dalam semak berjaya ditangkap dalam Ops Bersepadu PATI.

DITANGKAP: Beberapa warga asing yang bersembunyi di dalam semak berjaya ditangkap dalam Ops Bersepadu PATI.

KOTA KINABALU: Enam lokasi penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diserbu dalam Ops Bersepadu PTI berjaya menahan seramai 30 warga Filipina berumur setahun hingga 70 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, daripada jumlah yang ditangkap itu, empat lelaki ditahan atas kesalahan dadah.

Pihaknya menyiasat keempat-empat lelaki terbabit mengikut Seksyen 12 (2) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurutnya 26 PATI lain yang ditangkap melibatkan 11 lelaki dan lima wanita serta 10 kanak-kanak.

Beliau berkata, kawasan yang menjadi tumpuan operasi termasuklah Sembulan, Likas, Sepanggar, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Luyang.

“Operasi ini dijalankan selama tujuh jam bermula jam 1 hingga 8 pagi kelmarin dan kesemua tahanan dibawa ke lokap berpusat Kota Kinabalu.

“Proses dokumentasi kesemua tahanan dijalankan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan imigresen di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu,” katanya di sini kelmarin.

Chandra berkata tumpuan lokasi operasi di kawasan yang berpotensi sebagai sarang penjenayah serta pengedaran dadah di sekitar Kota Kinabalu.

Pihaknya turut mengambil kira aduan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkenaan penyambungan bekalan elektrik secara haram yang berulang di kawasan setinggan berdekatan.

Advertisement