Anda di sini

Pemuda PBS bantah IPG Gaya dan IPG Keningau ditutup

Advertisement

Menjejaskan ratusan kakitangan, beribu-ribu guru pelatih

KENINGAU: Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Pusat akan mengemukakan bantahan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap cadangan untuk menutup Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya dan Keningau.

Ketuanya Datuk Jake Jikulin Nointin berkata, di Malaysia terdapat 27 IPG yang bertujuan melahirkan guru untuk mendidik anak bangsa yang sentiasa bertambah setiap tahun.

Katanya daripada jumlah itu, empat di Sarawak, empat di Sabah sementara selebihnya di Semenanjung Malaysia.

“Sekiranya ada cadangan penutupan untuk ‘mengurangkan kos’ pilihlah daripada 20 yang ada di Semenanjung kerana kita tidak rela kehilangan walaupun sebuah IPG lagi setelah kehilangan IPG Sandakan suatu ketika dahulu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Borneo di sini, kelmarin.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan (bukan Utusan Borneo) bertarikh 20 Oktober yang memetik KPM melalui mesyuarat rasmi penyelarasan Status IPG Malaysia yang diadakan di Pejabat Kampus Bahasa Melayu IPG Kuala Lumpur pada 11 Oktober bercadang mahu menutup kedua-dua IPG itu (Gaya dan Keningau) dengan alasan ‘tidak berkesan dari segi kos’.

Jake yang juga Ketua PBS Bahagian Liawan menyifatkan penutupan itu akan menjejaskan ratusan kakitangan dan beribu-ribu guru pelatih yang bertugas serta belajar di IPG berkenaan.

Katanya, ia belum termasuk kakitangan sokongan dan pekerja sementara yang bakal kehilangan pekerjaan.

Menurut beliau, cadangan itu juga dilihat tidak masuk akal dan amat tidak selari dengan pengumuman Perdana Menteri dua tahun lalu bahawa tiga tahun akan datang sebanyak 90 peratus guru sekolah rendah dan menengah di Sabah dan Sarawak adalah anak tempatan.

“Dari segi sejarah, kedua-dua IPG ini telah banyak berjasa dan melahirkan ramai guru serta pegawai Jabatan Pendidikan negeri dan Kementerian Pendidikan, malah pernah melahirkan pemimpin-pemimpin politik Sabah yang berkaliber.

“IPG Keningau yang mula dibina pada 1982 dan mula mengambil pelajar pada tahun 1985 adalah satu-satunya IPG di mana lokasinya di luar bandar dan menjadi kebanggaan penduduk pedalaman,” katanya.

Jake berkata, keperluan sebuah maktab perguruan telah disuarakan oleh penduduk pedalaman melalui bekas  Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Suffian Koroh yang merupakan pemimpin pedalaman pada ketika itu dan ia menyebabkan IPG menjadi aspirasi warga pedalaman yang harus dihormati.

Menurut beliau IPG Gaya pula ialah salah sebuah institut perguruan yang tertua dan banyak melahirkan warga guru berwibawa. IPG itu dibina sebelum Sabah merdeka dan telah dibuka oleh Governor British Borneo Utara, Sir William Goode pada 4 Julai 1963.

Katanya, IPG itu dibina untuk memenuhi keperluan guru-guru bahasa Inggeris di sekolah-sekolah aliran Melayu pada ketika itu.

“Pemuda PBS mencadangkan agar IPG ini khususnya IPG Keningau dijadikan sebagai IPG pengkhususan melatih bakal guru dalam bahasa ibunda Sabah seperti Kadazan Dusun Murut dan sebagainya agar dapat diterapkan di sekolah-sekolah di negeri ini.

“Di samping itu, jadikan IPG ini khusus untuk rakyat kelahiran Sabah agar masalah kekurangan guru khususnya di luar bandar dapat diatasi. Ini juga dapat merealisasikan peratusan guru tempatan 90:10 dengan secepatnya, malah dapat mengatasi masalah perpindahan guru-guru dari Semenanjung yang saban tahun memohon perpindahan,” katanya.

Jake berkata, menurut laporan Jabatan Pendidikan Negeri pada tahun 2015, seramai 2,284 guru memohon balik ke negeri masing-masing di Semenanjung.

Katanya, IPG Kampus Keningau wajar dikekalkan sebagai sebuah institusi kajian peribumi yang mengangkat martabat bahasa-bahasa etnik peribumi negeri ini.

Menurut beliau kecemerlangan IPG Keningau sudah terbukti dengan pelbagai kajian dan program yang telah dilaksanakan melalui unit Pedagogi Pedalaman iaitu sebuah unit cukup signifikan yang diwujudkan di IPG Keningau.

Beliau memberitahu penutupan IPG Keningau akan menyebabkan kawasan pedalaman kehilangan ikon IPG yang cukup berkepakaran dalam konteks Pedagogi Pedalaman dan memainkan peranan dalam membuka peluang pendidikan guru kepada anak-anak tempatan Sabah khususnya sekitar pedalaman negeri ini.

“IPG Keningau juga perlu dikekalkan kerana ia adalah satu-satunya IPG di kawasan pedalaman yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dalam beberapa bidang khususnya kepada anak-anak tempatan negeri ini yang berasal dari kawasan pedalaman.

“Ini memberi peluang kepada anak-anak tempatan negeri ini khususnya dari pedalaman untuk mendapatkan ijazah dalam bidang pendidikan tanpa perlu melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan di institusi-institusi yang jauh dan memerlukan kos yang tinggi,” katanya.

Katanya, Pemuda PBS menggesa agar Kementerian Pendidikan memikirkan cadangan itu dan sebarang keputusan haruslah dibuat selepas berbincang dengan kerajaan negeri, dan yang penting mengambil kira sentimen rakyat negeri ini.

Advertisement