// Oleh Watt Zacchaeus //
SIBU: Pasaraya Farley akan menganjurkan Pertunjukan Kucing 2016 buat julung kalinya yang akan diadakan di premisnya di Jalan Salim di sini pada 13 November ini jam 4.30 petang.
Pengurus Pasaraya Farley Eijing Lau berkata, pertunjukan kucing ini yang diadakan selama dua jam adalah julung kalinya diadakan di Sibu.
“Kami pernah menganjurkan pertunjukan kucing ini di Pasaraya Farley, Bintulu pada September lepas dan ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
“Justeru, pada kali ini kami mahu mengadakannya di sini lebih-lebih lagi di kawasan wilayah tengah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Lau memberitahu, pihaknya menjemput semua penggemar atau pemilik kucing dari pelbagai jenis di kawasan wilayah tengah ini supaya tampil untuk terlibat dalam pertunjukan ini kelak.
“Ini bukan pertandingan tetapi pertunjukan. Jadi kami mahu mereka yang mempunyai kucing supaya menyertainya dan penyertaan adalah percuma.
“Pihak penganjur akan memberikan hamper kepada setiap orang pemilik kucing termasuk kucingnya sekiranya mereka menyertai kita,” ujarnya lagi sambil memberitahu bahawa tiada had berapa banyak kucing dikenakan untuk penyertaan ini.
Lau berkata, seorang boleh membawa berapa ekor kucingnya untuk pertunjukan ini tanpa had.
Menurutnya lagi, objektif penganjuran pertunjukan kucing ini adalah untuk membolehkan orang ramai berkongsi pengalaman ataupun tips tentang pemeliharaan kucing dengan penggemar kucing.
Jelasnya, selain itu ia juga membolehkan orang ramai menyaksikan sendiri keunikan serta kepelbagaian jenis kucing.
Selain itu orang ramai juga boleh berkongsi pengalaman dari segi kos, pemakanan, penjagaan dan sebagainya.
“Tarikh tutup penyertaan adalah pada 6 November ini di mana kita mahu penggemar kucing ini mengambil borang penyertaan di kaunter kad ahli Farley ataupun di pasar raya kita ini (kaunter juruwang),” jelasnya lagi.
Acara ini dianjurkan oleh Pasaraya Farley dengan kerjasama syarikat dan produk Cat Pro, ProDiet, Whiskas dan SmartHeart.