Anda di sini

Johor akan mencontohi Korea Selatan dalam pembangunan bandar farmasi

Advertisement
 Mohamed Khaled menandatangani plak simbolik pelancaran Persidangan Antarabangsa Bioekonomi Johor 2006 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, kelmarin. — Gambar Bernama

RASMI: Mohamed Khaled menandatangani plak simbolik pelancaran Persidangan Antarabangsa Bioekonomi Johor 2006 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, kelmarin. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Sebagai sebahagian daripada strategi untuk menjadikan Johor sebuah hab bioperubatan, kerajaan negeri bercadang membangunkan bandar farmasi sendiri dengan menjadikan Osong Medical Park, Korea Selatan sebagai contoh.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembangunan bandar tersebut merupakan satu pelan jangka panjang oleh kerajaan negeri dan sehubungan itu, ia memerlukan hala tuju.

“Ini adalah satu permulaan. Kita akan buat kajian yang merangkumi pembangunan bandar terbabit.

“Kerjasama antara J-Biotech dan KBIO Health dari Korea Selatan akan mengorak langkah ke arah membantu kami membangunkan pelan hala tuju ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Bioekonomi Antarabangsa Johor di sini semalam.

Katanya, pelan hala tuju itu dijangka menyaksikan pembangunan sebuah hab bioperubatan, yang merangkumi komponen-komponen seperti pusat penyelidikan dan pembangunan serta pengeluaran alat-alat perubatan.

Terdahulu, J-Biotech telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan KBIO Health bagi membangunkan kelompok bio-perubatan di Johor, lengkap dengan ekosistem yang kondusif dan komponen-komponen sedia ada.

Selain itu, J-Biotech juga telah memeterai dua lagi MoU iaitu dengan JK Medical Group serta Rimbunan Serantau Sdn Bhd.

Dengan JK Medical Group, J-Biotech merancang untuk membangunkan sebuah pusat kesihatan yang dilengkapi sepenuhnya dengan fasiliti pemulihan dan peremajaan.

MoU dengan Rimbunan Serantau membabitkan aktiviti pengkomersilan bagi bahan-bahan terbiodegradasikan dan biokompos.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif J-Biotech Asman Shah Abd Rahman berkata KBIO Health merupakan sebuah agensi kerajaan Korea Selatan yang bertanggungjawab dalam pembangunan Osong Medical Park, yang terletak kira-kira 45 minit dari Seoul.

“Kajian (mengenai hala tuju hub bioperubatan) akan bermula tahun depan dan kemungkinan besar akan mengambil masa enam hingga sembilan bulan untuk selesai,” katanya.

Osong Medical Park yang turut dikenali sebagai Osong Bio-Technopolis, merupakan sebuah bandar perubatan yang dikendalikan oleh kerajaan negeri untuk industri bio yang telah dimulakan oleh kerajaan Korea Selatan. — Bernama

Advertisement