Anda di sini

Jepun setuju kurangkan cukai import papan lapis

Advertisement

Pengurangan khusus kepada Malaysia mengikut TPPA

KUALA LUMPUR: Eksport papan lapis Malaysia ke Jepun dijangka meningkat selepas negara berkenaan bersetuju mengurangkan kadar cukai import bagi produk itu, khusus kepada Malaysia, mengikut Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur berkata pengurangan cukai import tersebut merupakan satu perkembangan yang positif kerana kerajaan Jepun tidak pernah memberikan pengurangan cukai kepada negara lain sebelum ini.

“TPPA merupakan satu daripada 13 perjanjian perdagangan yang telah ditandatangani Malaysia, ini merupakan langkah kerajaan dalam memperkukuhkan kerjasama ekonomi di antara negara-negara lain.

“Pihak kerajaan Jepun di bawah TPPA juga telah bersetuju mengurangkan cukai papan lapis, ini tidak pernah berlaku kepada negara lain, kecuali Malaysia, kita berharap dengan perjanjian TPPA ini eksport papan lapis akan bertambah dengan pesatnya,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) mengenai kelebihan industri kayu negara yang akan diperolehi dalam perjanjian perdagangan bebas serta TPPA berbanding negara luar.

TPPA adalah perjanjian perdagangan merangkumi 12 negara iaitu Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Vietnam, Jepun, Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Kanada, Mexico, Peru serta Chile.

Perjanjian tersebut kini dalam proses ratifikasi selama dua tahun.

Sementara itu, Datu Nasrun berkata nilai eksport industri kayu negara pada 2015 adalah sebanyak RM22.14 bilion, peningkatan sebanyak 6.5 peratus berbanding RM20.79 bilion pada 2014.

“Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, nilai eksport adalah RM12.52 bilion, peningkatan sebanyak 1.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelum ini,” katanya.

Kerajaan menyasarkan nilai eksport industri kayu dalam tempoh lima tahun akan datang bakal meningkat ke paras RM25.77 bilion, katanya. — Bernama

Advertisement