Anda di sini

BCM mula didagang di pasaran ACE pada premium lapan sen

Advertisement

KUALA LUMPUR: BCM Alliance Bhd mula didagangkan di Pasaran ACe Bursa Malaysia semalam pada 27 sen, atau premium lapan sen mengatasi harga terbitan pada 19 sen.

Pengedar peralatan kedai dobi dan peranti perubatan itu, dengan saham langganan awam terlebih langgan sebanyak 49.94 kali, menyaksikan 9.62 juta saham bertukar tangan pada pembukaan.

“Kami gembira terhadap prestasi saham kami hari ini, memandangkan premium lapan sen itu menunjukkan pelabur yakin ke atas syarikat kami,” kata Pengarah Urusan Liaw Chong Lin pada sidang media selepas majlis penyenaraian itu.

Tawaran awam permulaan (IPO) itu membabitkan 84.25 juta saham biasa pada harga jualan 42.13 juta saham sedia ada pada harga IPO 19 sen sesaham pada lima sen nilai tara.

Daripada jumlah keuntungan itu, RM2.60 juta akan digunakan untuk menubuhkan rangkaian 11 kedai dobi layan diri baharu Speed Queen sebagai kedai konsep di seluruh negara dan RM7.70 juta untuk membeli peralatan kedai dobi komersial baharu serta peranti perubatan.

Sejumlah RM3.21 juta akan digunakan untuk perbelanjaan harian kumpulan dan baki RM2.50 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.

M&A Securities Sdn Bhd ialah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan IPO.

Sementara itu, Liaw berkata beliau yakin syarikat itu akan mencatat prestasi yang lebih baik tahun ini berbanding 2015, hasil daripada pelbagai projek dan tempahan yang diterima.

Mengenai hasil syarikat, beliau menjangkakan segmen peralatan kedai dobi dan peranti perubatan akan menyumbang 50:50 kepada jumlah hasil tahun ini.

Tahun lepas, segmen kedai dobi menyumbang 60 peratus kepada hasil.

Dalam Bajet 2017, kerajaan mengumumkan sejumlah RM25 bilion akan disalurkan kepada sektor penjagaan kesihatan, termasuk membina hosiptal dan klinik baharu.

Liaw yakin pengumuman itu akan membantu meningkatkan kedua-dua segmen perniagaan syarikat itu.

Beliau juga menyifatkan Bajet 2017 sebagai bajet bertumpukan syarikat kecil dan sederhana dan memberi manfaat kepada syarikat seperti BCM.

Sementara itu BCM berkata ia mencatatkan keuntungan bersih RM2.59 juta bagi tempoh suku kedua berakhir 30 Jun, 2016, meningkat berbanding RM1.96 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Bagi tmpoh yang sama, hasil meningkat kepada RM17.7 juta berbanding RM17.0 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Ia dicapai hasil dariapda prestasi yang lebih baik daripada segmen perniagaan peralatan kedai dobi serta peranti kesihatan. — Bernama

Advertisement