Anda di sini

RM220 juta tajaan pendidikan Petronas diperuntukkan

Advertisement

KOTA KINABALU: Sebanyak RM220 juta tajaan pendidikan, latihan teknikal dan pembinaan modal insan diperuntukkan di Sabah melalui usaha giat Petronas untuk tempoh 2014 hingga 2019.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas Datuk Raiha Azni Rahman berkata, melalui usaha giat berkenaan telah memberi manfaat kepada kira-kira 35,000 orang tanpa mengira asal usul dan latar belakang.

“Di Sabah misalnya, sejumlah RM220 juta diperuntukkan untuk tempoh 2014 hingga 2019 yang mana sehingga hari ini kira-kira hampir 5,000 pelajar telah menikmati pelbagai manfaat daripada Program-program Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.

“Ini termasuklah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP), Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP), Petronas Vista, dan Skim Peningkatan Kebolehpasaran Graduan (GEES).

“Ini bagi memastikan tunas ilmu dapat bercambah dengan baik meliputi pelbagai peringkat pembelajaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) ke-18 dan Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) ketiga.

Katanya, selaras dengan itu tumpuan khusus juga diberikan terhadap usaha-usaha untuk memperkasakan pusat-pusat pengajian dan latihan yang diwujudkan oleh Petronas INSTEP, Akademi Laut Malaysia (ALAM) Melaka, Universiti Teknologi Petronas (UTP) Perak, Petronas Leadership Centre (PLC) Selangor, dan KTC Sabah.

“Kami akan memastikan pusat-pusat pengajian dan latihan ini terus menawarkan program-program pengajian yang relevan bagi memenuhi keperluan negara dan memacu pembangunan yang lebih gemilang di masa datang,” jelasnya.

Menurutnya, walaupun industri minyak dan gas begitu mencabar, namun Petronas sangat komited dalam meneruskan usaha melahirkan lebih ramai tenaga cekap dan mahir bagi memastikan sektor berkenaan di Malaysia sentiasa mempunyai tenaga kerja yang mencukupi.

“Petronas telah melakar satu pelan yang sistematik dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah hab pendidikan dan pembelajaran minyak dan gas utama di rantau ini melalui INSTEP dan KTC khususnya.

“Instep adalah untuk memastikan pelaburan yang hampir mencecah kos RM250 juta membangunkan loji iatihan yang unik dalam kelas yang tersendiri di dalam kampus tidak disia-siakan.

“Sehingga hari ini, pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa telah diterima antaranya akreditasi oleh Majlis Pendidikan Teknologi dan Perniagaan (BTec) pada 2014 dan Offshore Petroleum Industry Training Organization (OPITO) 2015 yang mana kedua-dua badan ini merupakan badan pengiktirafan terbesar di United Kingdom,” katanya.

Raiha menjelaskan, melalui pengiktirafan itu dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan untuk pasaran antarabangsa.

“Pengiktirafan sebegini memberikan peluang kepada para tenaga kerja dalam sektor minyak dan gas di Malaysia untuk menerima latihan dan kelayakan bertaraf dunia di INSTEP.

“Saya juga yakin menerusi pengiktirafan ini, INSTEP bakal muncul sebagai pusat pembelajaran dan pendidikan minyak dan gas yang terulung di rantau ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman mengalu-alukan usaha dan inisiatif Petronas melahirkan modal insan yang berkemahiran.

“Industri petroleum adalah salah satu sektor yang amat penting di dalam negara dan Sabah khususnya.

“Ini kerana ia adalah pemangkin di dalam pembangunan dan pertumbuhan serta menjadi penyumbang utama di dalam sektor ekonomi negara.

“Daripada itu, saya memuji dan mengalu-alukan usaha dan inisiatif Petronas dalam mewujudkan INSTEP bagi melahirkan modal insan yang berkemahiran dalam bidang petroleum seterusnya menampung keperluan tenaga mahir keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Tugas-tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang.

Katanya, hubungan baik kerajaan negeri Sabah serta syarikat minyak dan gas adalah kebanggaan negeri yang mana Petronas menjadi tunjang keberhasilan pelbagai usaha jangka panjang di Sabah.

“Suka saya menyarankan agar syarikat-syarikat yang beroperasi di Sabah hendaklah memberi penekanan terhadap pelaburan untuk masa akan datang.

“Salah satu usaha sama yang patut dicontohi adalah antara Petronas dan Yayasan Sabah bagi melestarikan keseimbangan alam dan biodiversiti di Kanyon Imbak yang terletak di Ulu Kinabatangan.

“Selain itu, saya menyeru kepada graduan INSTEP untuk terus menyumbang tenaga dan kemahiran bagi membantu dalam kemajuan negara dan negeri ini pada keseluruhannya,” jelasnya.

Beliau dimaklumkan, seramai 38 pelajar INSTEP yang mana 28 daripadanya adalah anak jati Sabah dan selebihnya berasal dari Sarawak.

Manakala, seramai 20 pelajar KTC turut menerima skrol tamat pengajian pada majlis berkenaan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP Chandramohan Saminathan.

Advertisement