Anda di sini

K’jaan sedia bantu penduduk kampung lupus sampah di tepi sungai

Advertisement

KOTA KINABALU: Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar bersedia memberi kerjasama kepada penduduk kampung yang menetap di tepi sungai bagi melupuskan sampah- sarap di kawasan masing-masing.

Menterinya Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, usaha itu akan dilaksanakan melalui peruntukan dana bagi menjalankan proses pembersihan yang turut melibatkan agensi lain seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Kajian membuktikan bahawa punca utama sampah- sarap yang ada di tepi pantai datang melalui sungai yang berhampiran dan semua pihak perlu memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah ini.

“Justeru itu kementerian saya akan bersedia membantu kampung yang berdaftar secara sah untuk melupuskan sampah-sarap di sekitar sungai mereka dengan memberi peruntukan sewajarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Hari Alam Sekitar Peringkat Negeri Sabah 2016 dan Majlis Penyampaian Anugerah Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) 2015/2016, di sini kelmarin.

Tambah beliau, meskipun pelbagai pihak boleh membuat kritikan berkaitan masalah ini, namun mereka perlulah melibatkan diri dalam menyelesaikannya dan bukan hanya mempersoalkan tanpa tindakan susulan.

Selain itu Masidi juga menyeru industri besar di negeri ini supaya menjalankan peranan untuk turut sama menjaga kebersihan di sekitar kawasan masing-masing.

Menurutnya, usaha itu boleh dijalankan melalui pelaksanaan tanggungjawab sosial industri berkenaan dalam menunjukkan keprihatinan mereka menjaga kebersihan sungai.

“Masih ada industri yang menjadikan sungai sebagai tempat pelepasan sampah sarap dan bahan buangan yang berbahaya terhadap habitat hidupan sungai sehingga mengeluarkan bau busuk.

“Memang sudah ada tindakan yang diambil, tapi kita perlu teruskan untuk memikirkan apa yang sepatutnya kita laksanakan untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan,” jelasnya.

Sehubungan itu beliau berharap supaya penganjuran program SERASI seumpama ini dapat meningkatkan kesedaran generasi muda muda yang menjadi penggerak merubah sikap masyarakat ke arah yang lebih baik.

Katanya, program ini juga amat bertepatan dengan usaha memberi kesedaran memandangkan ianya melibatkan proses mendidik yang menjadi satu cara berkesan menangani masalah pencemaran alam sekitar.

Justeru beliau juga menyeru agar semangat kesukarelawanan yang diterapkan melalui program sedemikian mampu mentransformasi negeri ini menjadi sebuah negeri yang bebas dari pencemaran sampah-sarap.

Terdahulu, pada majlis berkenaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tulid Keningau dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Mencipta Lagu Alam Sekitar.

Manakala, Anugerah Harapan Serasi bagi kategori sekolah rendah (SK) dimenangi oleh SK Sandau Kinabatangan dan SMK Pinggan-Pinggan Pitas pula menjadi Johan bagi kategori sekolah menengah.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi bersama Setiausaha Tetap kementerian Dato Rosmadi Sulai, Pengarah Jabatan Pelindungan Alam Sekitar Datuk Yabi Yangkat, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Maimunah Suhaibul, Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah Norazizi Adinan, dan Pengurus Besar Gas to Liquids Bussiness Shell Malaysia Tom Wong.

Advertisement