Anda di sini

Peningkatan kelajuan jalur lebar menguntungkan rakyat: Persatuan

Advertisement

KOTA KINABALU: Peningkatan kelajuan perkhidmatan talian tetap jalur lebar dengan pengekalan caj sedia ada yang bakal berkuat kuasa Januari 2017 akan memberi pelbagai faedah yang menguntungkan rakyat, kata Presiden Penaja Persatuan Media Sosial Malaysia Dr Lee Kuok Tiung.

Beliau berkata pelaksanaan langkah berkenaan juga menunjukkan keprihatinan kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) terhadap realiti kepenggunaan telefon pintar yang begitu tinggi di setiap lapisan masyarakat di negara ini termasuk pelajar.

“Keprihatinan KKMM yang diterajui Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak – melihat (langkah ini) dari lensa sosioekonomi rakyat Malaysia.

“Saya melihat ini sebagai suatu kejayaan kerajaan yang melihat pendekatan yang boleh memfaedahkan rakyat, baik dari segi ekonomi mahupun sosial – lebih banyak urus niaga dapat dilakukan dan merapatkan silaturahim sesama ahli keluarga mahupun masyarakat,” katanya kepada Bernama, di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai peningkatan kelajuan perkhidmatan talian tetap jalur lebar pada harga sedia ada yang berkuasa tahun depan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2017 di Dewan Rakyat kelmarin.

Lee berkata peningkatan kelajuan kemudahan berkenaan juga secara tidak langsung memperlihatkan langkah kerajaan mendukung hak kebebasan bersuara (berinformasi) yang  merupakan asas kepada agenda demokrasi negara  Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi pengguna daripada terjebak atau menjadi mangsa penularan gejala negatif yang timbul khususnya buli siber, jenayah siber, pedofilia serta sebarang bentuk eksploitasi  teknologi komunikasi untuk menabur fitnah mahupun hasutan.

“Langkah kerajaan ini juga harus disambut baik oleh pihak industri dengan  menawarkan gajet telekomunikasi, khususnya telefon pintar pada harga yang  lebih rendah,” katanya. — Bernama

 

 

Advertisement