Anda di sini

Bayi mohon sumbangan orang ramai untuk kos pembedahan

Advertisement

 Muhammad Al-Indra selepas menjalani pembedahan di hospital pada Julai lalu.

PERLU SUMBANGAN: Muhammad Al-Indra selepas menjalani pembedahan di hospital pada Julai lalu.

KOTA KINABALU: Kurang dua bulan sahaja lagi sebelum proses penghantaran bayi berusia enam bulan, Muhammad Al-Indra Putra Ebby ke China bagi menjalani pembedahan akibat mengalami kerosakan hati atau Biliary Atresia.

Namun, wang untuk menampung kos pembedahan bayi berkenaan masih belum mencukupi.

Sehingga kelmarin, sumbangan terkumpul yang diperoleh adalah RM80,000, iaitu separuh daripada kos yang diperlukan (RM160,000).

Ibu kepada bayi berkenaan, Narizmah Sabran, 27, memberitahu sejak status untuk memohon sumbangan ikhlas orang ramai viral dalam laman sosial Facebook pada awal Oktober, banyak sumbangan diterima olehnya.

Beliau amat bersyukur atas sumbangan ikhlas yang diberikan oleh orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan. Bagaimanapun sumbangan itu masih belum dapat menampung kos pembedahan anak keduanya itu.

Oleh itu, beliau berharap sebelum Disember ini, akan ada lebih ramai orang yang sudi menghulurkan bantuan bagi membolehkan anaknya itu menjalani pembedahan.

Narizmah yang berasal dari Kampung Rosob, Pitas berkata bukan beliau tidak ingin menjalankan pembedahan di Malaysia namun, syarat yang ditetapkan untuk anaknya itu menjalani pembedahan dengan selamat di Hospital Selayang adalah beratnya perlu mencapai 10kg.

Akan tetapi dalam keadaan bayinya sebegitu, sukar untuk berat badan anaknya meningkat. Kini, berat bayinya adalah 6kg dan ia akan mengambil masa yang lama untuk berat badan anaknya itu bertambah bagi membolehkan pembedahan hati dilakukan.

Disebabkan mereka sekeluarga tidak ingin mengambil risiko untuk menangguhkan terlalu lama pembedahan bayinya itu, beliau dan suaminya cuba mencari inisiatif lain bagi memastikan anak mereka dapat menjalani pembedahan hati dengan kadar segera.

Jururawat yang bertugas di Hospital Pitas berkata, anak keduanya itu disahkan menghidap kerosakan hati ketika berusia empat bulan.

Biarpun pembedahan bagi mewujudkan saluran hempedu sudah dilakukan ketika anaknya itu berusia empat bulan namun, ia tidak memberikan sebarang impak kerana kerosakan hati pada bayi itu lewat dikesan.

Katanya, kerosakan pada hati perlu dikesan sekurang-kurangnya dalam tempoh 60 hari bagi membolehkan pembedahan memberi kesan positif, tetapi dalam kes anaknya itu, ia lewat dikesan.

Dengan itu, bayi berkenaan perlu menjalani pembedahan bagi memastikan hatinya dapat berfungsi dengan baik.

Narizmah berkata pembedahan yang akan dilakukan di China itu adalah di bawah kerjasama Nadi Permata Negara.

Untuk memberikan sumbangan, orang ramai boleh menghubungi Narizmah di talian 014-3533954 atau sumbangkan bantuan ke akaun Narizmah Binti Sabran Maybank (510143667173) atau CIMB (7062967158).

Advertisement