Anda di sini

Tenaga boleh diperbaharu dapat basmi kemiskinan: KM

Advertisement

Capai kemajuan sosial, pertumbuhan ekonomi di Sabah

KOTA KINABALU: Sabah melihat pengeluaran tenaga boleh diperbaharu (RE) sebagai cara lestari untuk menyediakan akses tenaga kepada rakyat, di samping meningkatkan usaha membasmi kemiskinan, mencapai kemajuan sosial dan pertumbuhan ekonomi.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata inisiatif untuk menyediakan infrastruktur yang diperlukan untuk bekalan tenaga elektrik yang bersih dan boleh dipercayai juga memberi manfaat kepada penduduk tempatan dari segi peluang pekerjaan.

“Kerajaan negeri telah meneroka pelaksanaan RE, terutamanya tenaga hidro dan  solar di kawasan luar bandar, sejak akhir tahun 70-an.

“Pembinaan empangan Hidro Pangi dan empangan hidro lain, projek berkaitan solar memberi manfaat kepada masyarakat yang tinggal jauh di kawasan pedalaman,” katanya ketika merasmikan seminar mengenai RE bertajuk, ‘Akses Tenaga Untuk Pembasmian Kemiskinan’, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Edward Yong Oui Fah.

Musa berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa tapak yang sesuai untuk pembangunan loji hidroelektrik kecil di bawah 30 megawatt.

Inisiatif ini telah dijalankan melalui cabang pelaburan kerajaan negeri, Warisan Harta Sdn Bhd, dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri dan sektor swasta, katanya.

Ketua Menteri juga memuji kerja yang dijalankan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membawa projek-projek RE mikro kepada masyarakat yang tinggal jauh dari talian utama kuasa grid.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Persatuan Usahawan dan Profesional Wanita Sabah (SWEPA) di atas kejayaannya dalam Projek Solar ‘SWEPA Barefoot 2.0’ di Kampung Sonsogon Magandai, Kota Marudu (kira-kira 131 km dari sini),” katanya dan menambah, ia telah mendapat manfaat 100 isi rumah.

Musa berkata adalah penting bagi kerajaan untuk mengambil pendekatan yang diperlukan untuk melibatkan NGO tempatan dan masyarakat luar bandar untuk mengenal pasti penyelesaian terbaik dalam menyediakan bekalan tenaga. — Bernama

Advertisement