Anda di sini

Seribu Satu Herba Enterprise, UPM kerjasama jalani penyelidikan antikanser daun rerama

Advertisement
 Chong, Pengurus Ladang Chin Chi Min dan Khamarul melawat kawasan penanaman pokok daun rerama di Tuaran Isnin lepas.

BERKHASIAT: Dari kiri: Chong, Pengurus Ladang Chin Chi Min dan Khamarul melawat kawasan penanaman pokok daun rerama di Tuaran Isnin lepas.

KOTA KINABALU: Geran penyelidikan sebanyak RM300,000 untuk penyelidikan antikanser melalui daun rerama dijalankan dengan kerjasama Seribu Satu Herba Enterprise dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pengurus Seribu Satu Herba Enterprise Khamarul Rezan Lim Abdullah berkata geran berkenaan diberikan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) berikutan kepelbagaian khasiat daun berkenaan.

“Geran ini adalah daripada maklum balas positif pesakit kanser dan juga Sistem Lupus Erithematosus (SLE) selepas mengamalkan daun rerama ini.

“Daripada itu, MOSTI meluluskan geran RM300,000 di bawah Enterprise Innovation Fund (EFI) bagi projek penyelidikan klinikal daun ini,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Beliau berkata geran berkenaan juga meliputi dalam proses penanaman dan penyelidikan.

Ia kerana, pokok rerama yang ada ketika itu adalah sedikit dan ditanam di kawasan rumah sahaja.

“Dengan adanya geran ini, sebanyak 300,000 pokok ditanam untuk tujuan berkenaan di Melaka.

“Selain itu, Jabatan Pertanian Negeri Melaka melalui Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan untuk mencari kawasan penanaman baharu,” katanya.

Khamarul berkata seluas 2.7 ekar disediakan melalui bantuan Jabatan Pertanian dan penanaman pokok berkenaan bermula pada November depan.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga bekerjasama dengan salah seorang sahabat di Tuaran untuk memperluaskan kawasan penanaman pokok berkenaan.

“Ketika ini, saya dan Pengarah Environment Interior Design Chong Kui Kiong mencari kawasan yang sesuai untuk memperluaskan penanaman.

“Melalui Rerama Cawangan Sabah, kami memerlukan kira-kira tiga ekar lagi. Ini berikutan permintaan daun rerama sebagai minuman tambahan seharian,” katanya.

Katanya mereka juga membangunkan minuman tambahan berbentuk uncang mengikut piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Minuman tambahan Christia Herbal Tea berkenaan juga dihasilkan melalui kerjasama dengan UPM dan MOSTI,” katanya.

Advertisement