Anda di sini

Pelabuhan Melaka Gateway akan penuhi permintaan aktiviti ekonomi Asia Tenggara

Advertisement
 Liow (tiga kanan) menyaksikan Idris (dua kanan) dan Huang g (tiga kiri)  mengucapkan tahniah selepas menandatangani plak perasmian Pecah Tanah Pelabuhan Melaka Gateway (Pulau Panjang), Melaka kelmarin. — Gambar Bernama

TERMETERAI: Liow (tiga kanan) menyaksikan Idris (dua kanan) dan Huang g (tiga kiri) mengucapkan tahniah selepas menandatangani plak perasmian Pecah Tanah Pelabuhan Melaka Gateway (Pulau Panjang), Melaka kelmarin. — Gambar Bernama

MELAKA: Pelabuhan Melaka Gateway akan berperanan penting dalam memenuhi permintaan aktiviti ekonomi di Asia Tenggara bagi tempoh lima tahun akan datang yang dianggarkan bernilai RM500 bilion.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pelabuhan itu berada di barisan hadapan dalam usaha negara memanfaatkan limpahan aktiviti ekonomi di rantau itu.

“Pelabuhan ini akan ada banyak fungsi, kapal-kapal boleh menjalankan aktiviti isian semula, pembungkusan semula serta kegiatan lain berkaitan pelabuhan pangkalan bekalan kargo untuk semua kapal di sepanjang Selat Melaka.

“Saya difahamkan (terdapat) hampir 100,000 kapal di laluan utama Selat Melaka dan majoritinya adalah kapal dari China. Mereka boleh singgah di pelabuhan ini nanti untuk mendapatkan isian semula dan pembaikan,” katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.

Terdahulu beliau bersama-sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Duta China di Malaysia Dr Huang Huikang merasmikan majlis peletakan batu asas pembinaan Pelabuhan Melaka Gateway di Pulau Melaka di sini.

Pelabuhan Melaka Gateway, komponen penting Kawasan Perindustrian Maritim, merupakan pelabuhan laut dalam yang direka, antara lain, berfungsi sebagai terminal kargo cecair.

Pembinaan pelabuhan itu melibatkan kos RM8 bilion dan dijangka siap pada 2009.

Liow berkata pelabuhan itu tidak akan menjejaskan aktiviti Pelabuhan Klang memandangkan setiap pelabuhan mempunyai fungsi tersendiri.

“Kita tidak ada perkhidmatan seperti baik pulih dan penyelenggaraan di Pelabuhan Klang. Pelabuhan itu digunakan untuk pengangkutan dan pengurusan kargo, tetapi Pelabuhan Melaka Gateway mempunyai banyak lagi fungsi,” katanya.

Beliau berkata lebih banyak pelabuhan diperlukan bagi memenuhi permintaan aktiviti ekonomi di Asia Tenggara. — Bernama

Advertisement