Anda di sini

Keputusan akhir pensijilan MSPO akan dibuat tahun depan: Mah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuat keputusan akhir mengenai sama ada akan mewajibkan skim pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) pada tahun depan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata kerajaan menimbang menjadikan skim pensijilan ini mandatori bagi semua penanam, termasuk pekebun kecil, sejak tahun lepas bagi menjadikan industri tersebut lebih diiktiraf dan lestari.

“Banyak negara lain mahu memulakan pensijilan mereka sendiri tetapi ia bukan murah, itulah sebabnya mengapa saya mahu menggalakkan Malaysia mempunyai pensijilan mereka sendiri.

“Tahun depan, kita akan memutuskan sama ada akan mewajibkan pensijilan MSPO.

“Jika ia mandatori, semua pekebun kecil juga perlu melaksanakannya. Ia akan menelan masa dan wang, jadi saya tidak mahu membuat keputusan terburu-buru,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Antarabangsa Minyak dan Lemak 2016, di sini, semalam.  Mah berkata sesetengah penanam mahukan pensijilan MSPO diwajibkan dengan menyatakan ia akan menaikkan imej negara, tetapi yang lain enggan kerana mereka melihat pensijilan ini sebagai mahal dan bukan mudah untuk dilakukan.

Menurutnya, ketika kini terdapat kira-kira 500,000 pekebun kecil di Malaysia, jadi usaha untuk mendapatkan mereka semua diperakui MSPO adalah satu proses yang sukar.

Pekebun kecil, termasuk pekebun kecil persendirian dan pekebun kecil terancang dalam skim pembangunan tanah, menyumbang hampir 40 peratus daripada keluasan hektar kelapa sawit negara.

“Sesetengah syarat-syarat Persidangan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) amat sukar dipenuhi pekebun kecil. Saya rasa MSPO lebih realistik dan praktikal dan ia merangkumi hampir 80-90 peratus daripada keperluan RSPO.

“Sesetengah penanam mempunyai lima ekar, sesetengah mempunyai 10 ekar yang ditanam dengan kelapa sawit. Kini kami sedang mengkaji cara menggabungkan mereka menjadi satu kluster tunggal dan mendapatkan mereka pensijilan yang sama,” katanya yang melahirkan harapan menjelang 2020, semua penanam di Malaysia diperakui MSPO.

Terdahulu dalam ucapan beliau, Mah berkata kira-kira 11 skim pensijilan minyak sawit baharu diperkenalkan ke pasaran Eropah, situasi yang boleh menjejaskan industri minyak sawit Malaysia dalam tempoh jangka panjang.

Perkembangan ini perlu diambil serius kerana industri minyak sawit merupakan tonggak penting ekonomi Malaysia, katanya, sambil menambah negara perlu menangkis persepsi yang pengeluaran minyak sawit membawa kepada penebangan hutan.

“Mereka mahu kita mengikut spesifikasi mereka, tetapi saya tidak bersetuju. Mengapa kita perlu ikut mereka apabila kita mempunyai pensijilan kita sendiri?

“Dalam tempoh jangka panjang, ia akan menjadi jalan penyelesaian kerana banyak negara bimbang dengan alam sekitar kita, sama ada kita memusnahkan hutan kita,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan komitmen padu Malaysia untuk mengekalkan 50 peratus daripada tanahnya kekal diliputi hutan. — Bernama

Advertisement