Anda di sini

Pekerja muda wajar dididik perancangan kewangan

Advertisement

Hadiri kursus sebaik sahaja memasuki pasaran buruh

KUALA LUMPUR: Majikan dalam sektor awam dan swasta perlu menghantar petugas masing-masing ke seminar perancangan kewangan untuk persaraan bagi membantu mereka menyediakan simpanan yang mencukupi untuk persaraan sejak usia muda.

Pengasas HIJRAH Wealth Management Sdn Bhd Rohani Mohd Shahir berkata masa terbaik untuk menghadiri kursus tersebut ialah sebaik mereka memasuki pasaran buruh.

“Dengan menghantar pekerja pada usia bersesuaian ke seminar seperti ini, kita dapat mengelakkan masalah pekerja tidak mempunyai wang yang mencukupi selepas bersara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kebanyakan majikan menghantar petugas masing-masing ke seminar perancangan persaraan setelah mencecah usia 45 tahun dan ke atas, yang agak lewat dari segi perancangan.

Selain belajar mengenai perancangan persaraan ketika mula bekerja, ibu bapa juga boleh memainkan peranan penting dalam mendidik anak masing-masing mengenai perancangan kewangan.

Ini membolehkan kanak-kanak memahami kaedah pengurusan wang, bagaimana ia berfungsi, dan pentingnya membuat keputusan bijak mengenai kewangan.

Beliau bagaimanapun berkata ada dalam kalangan ibu bapa merosakkan anak-anak mereka dengan wang, sedangkan sebaliknya mereka perlu mendidik anak semasa muda dan mengajar mereka apa yang mereka tidak boleh dilakukan jika tidak berkemampuan.

Bagi penjawat awam, Rohani berkata mereka perlu menganalisis kedudukan kewangan mereka secara konsisten memandangkan sudah ada banyak kes penjawat awam tidak membayar pinjaman peribadi sehingga menjadi muflis.

Beliau berkata akses mudah untuk mendapatkan pinjaman peribadi, selain skim ansuran mudah merupakan punca berlakuknya salah urus sumber kewangan.

Rohani berkata penjawat awam harus mengelak daripada menjadi muflis, sebaliknya perlu meningkatkan pengetahuan mengenai pengurusan wang peribadi.

Pengetahuan dalam perancangan persaraan juga penting bagi pekerja dalam sektor swasta memandangkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sahaja tidak mencukupi untuk menampung persaraan mereka.

“Data KWSP menunjukkan bahawa kebanyakan pencarum KWSP menghabiskan semua wang mereka dalam tempoh tiga tahun selepas pengeluaran,” katanya.

Menurut Laporan Tahunan KWSP 2015, hanya 24,458 daripada 14,550.000 pencarum KWSP mempunyai simpanan melebihi RM1 juta.

KWSP mempunyai saiz dana berjumlah RM684.53 bilion pada akhir 2015. — Bernama

Advertisement