Anda di sini

Keluarga mangsa culik rayu bantuan

Advertisement

Seorang mangsa dipisahkan, nilai tebusan dikurangkan kepada RM2 juta

 Gustiah dan ahli keluarga mangsa tebusan Dent Heaven Lahad Datu merayu warga Malaysia supaya membantu mereka mengumpulkan wang sebanyak RM2 juta.

MERAYU: Gustiah dan ahli keluarga mangsa tebusan Dent Heaven Lahad Datu merayu warga Malaysia supaya membantu mereka mengumpulkan wang sebanyak RM2 juta.

TAWAU: Seorang daripada lima tebusan yang diculik di perairan Dent Heaven Lahad Datu, 18 Julai lepas, dilaporkan sudah dipisahkan daripada empat rakannya yang lain, lapor ahli keluarga mangsa.

Malah, nilai wang tebusan sebanyak RM8.5 juta yang dituntut penculik bertanggungjawab disyaki kumpulan Abu Sayyaf juga dilaporkan kini sudah dikurangkan kepada RM2 juta.

Jurucakap keluarga mangsa, Gustiah Sultan, 46, mengesahkan perkara itu pada sidang media di kediaman Hariyanti Hamsih, 32, di Kampung Otentik Tg Batu, di sini, kelmarin.

“Kali terakhir kami berhubung pada Rabu minggu lepas pada jam 4.19 petang, kami diberitahu Abdul Rahim Summas, 62, sudah dipisahkan daripada suami saya dan yang lain.

“Namun mereka tidak memberitahu lokasi Abd Rahim dibawa dan kumpulan penculik itu juga memberitahu nilai tebusan kini dikurangkan kepada RM2 juta,” katanya.

Gustiah berkata hanya suaminya, Tayudin Anjut, 45, yang masih diletakkan sekumpulan dengan Mohd Ridzuan Ismail, 32, Mohammad Jumadil Rahim, 23, dan Fandy Bakran, 26.

Katanya, selepas tiga bulan berlalu, kesemua ahli keluarga tebusan sering dilanda cemas dengan khabar-khabar mengejutkan yang diterima dari Filipina.

“Biasanya selepas memutuskan talian panggilan telefon, penculik akan berpesan yang mereka akan menelefon semula dalam masa tiga hari selepas panggilan itu dibuat.

“Pesanan ini membuatkan hidup kami tidak tenteram, apatah lagi mengenangkan nasib mereka yang terseksa tanpa makan dan minum yang sempurna di sana,” katanya.

Menurutnya mereka hanya diberi tempoh empat hari untuk menyediakan wang tunai RM2 juta namun mereka merayu kerana belum mampu mengumpulkan duit seperti yang dituntut.

Beliau berkata, ketika ini mereka cuba mengambil inisiatif dengan Tabung Selamatkan Lima Mangsa Culik Lahad Datu dengan slogan ‘Mereka Terseksa, Kami Sengsara, Bantulah Kami’.

“Semenjak tiga minggu lepas, kutipan yang kami jalankan baharu mencecah kira-kira RM3,670 sahaja sedangkan tempoh yang diberikan penculik sudah beberapa kali berlalu.

“Kami sedar perlu bekerja lebih keras lagi mengumpulkan duit demi menyelamatkan suami saya dan kawan-kawannya yang kini menjadi tahanan di sana (Selatan Filipina)” katanya.

Gustiah merayu seluruh rakyat Malaysia membantu menghulurkan bantuan di nombor akaun bank RHB 11003700272503 atas nama Gustiah Sultan atau menghubungi talian 019-8076279.

“Setakat ini, kami hanya menggunakan satu akaun sahaja untuk sebarang sumbangan kerana khuatir jika ada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kesulitan yang kami hadapi.

“Bagaimanapun, kita bersyukur kerana keluarga terus memberikan sokongan, malah, majikan suami masih lagi membayar gaji bulanan untuk menampung kehidupan kami sekeluarga.

“Namun, menjadi harapan besar kami untuk melihat insan-insan yang kami sayangi dibebaskan dan pulang dengan selamat ke pangkuan keluarga,” katanya.

Menyentuh hal berkaitan, beliau berkata semenjak kebelakangan ini, mereka terpaksa menebalkan muka meminta bantuan daripada pelbagai pihak termasuk para pemimpin.

Menurut Gustiah, usaha turut digerakkan dengan meminta bantuan ahli keluarga dan kenalan malah tabung mereka juga kini ditempatkan di beberapa premis sekitar daerah ini.

Advertisement