Anda di sini

Ekspo ICT Sarawak tawar produk dan peralatan ICT

Advertisement

c_pc0017166

KUCHING: Orang ramai yang ingin mencari produk dan peralatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) terkini boleh mengunjungi pameran berprestij, Ekspo ICT Sarawak yang akan berlangsung di Pusat Pameran CityONE pada 25 hingga 27 November ini.

Anjuran Persatuan Perniagaan Komputer Kuching (KCBA), ekspo ditaja oleh Telekom Malaysia sebagai penaja utama, manakala HP dan Lenovo sebagai penaja bersama.

Pengerusi KCBA Lee Kim Seng berkata, penganjuran tahun ini akan menyaksikan sebanyak 106 ruang pameran dan pelbagai aktiviti menyeronokkan serta hadiah-hadiah cabutan bertuah menarik menanti para pengunjung.

“Fokus utama ekspo ini adalah pada aras pertama dewan pameran yang didedikasikan untuk mempamerkan peranti mudah alih, perkakasan komputer, perisian, kamera litar tertutup (CCTV) rumah pintar dan kamera-kamera digital.

“Ia dijangka akan menampilkan tawaran-tawaran yang baik dan pelbagai promosi menarik ditawarkan dalam dewan pameran ini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Lee berkata, untuk menjadikan acara itu lebih diingati, pihak penganjur akan mengadakan empat cabutan bertuah setiap hari iaitu setiap dua jam, bermula jam 2 petang.

Para pengunjung hanya perlu membuat pembelian minimum RM300 dalam resit tunggal bagi melayakkan diri menyertai cabutan bertuah tersebut namun pemenang harus hadir ketika cabutan dibuat, katanya.

Cabutan bertuah utama akan diadakan pada jam 8.30 malam Ahad di mana kupon cabutan bertuah akan digabungkan katanya sambil menambah, setiap pengunjung mempunyai dua peluang untuk memenangi hadiah.

Menurut beliau, aktiviti lelong akan diadakan setiap hari di mana gajet IT dan barangan menarik lain akan dilelong dengan harga bidaan bermula RM1.

Selain itu, pertandingan Cosplay akan turut diadakan satu kategori terbuka bagi perseorangan atau secara berkumpulan (tidak melebihi lima orang), untuk membuat persembahan atas pentas selama dua hingga enam minit.

Para peserta akan dihakimi berdasarkan ketepatan kostum, mekap dan alatan, gambaran watak serta persembahan pentas dengan jalan cerita dan pemenang akan membawa pulang RM700, tempat kedua (RM400), tempat ketiga (RM200) dan tiga hadiah sagu hati (RM50).

Untuk menyertai pertandingan yang akan diadakan pada 27 November itu, peserta berminat hanya perlu membayar RM5 dan mereka perlu mendaftar di laman Facebook Kyanime dari 24 Oktober hingga 20 November.

Pada ekspo itu juga, kempen derma darah dan derma organ akan dijalankan, dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) cabang Stampin. Penderma darah yang berjaya juga akan melayakkan diri ke acara cabutan bertuah.

Di samping itu, Pertandingan Reka Bentuk Kek Cawan juga akan diadakan yang terbuka kepada dua kategori iaitu kategori A (Tahun 1 hingga 3) dan kategori B (Tahun 4 hingga 6) dengan setiap kumpulan merangkumi tiga ahli keluarga.

Pada masa sama bagi meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna komputer dalam usaha untuk memelihara alam sekitar, KCBA juga bekerjasama dengan PBSM cabang Stampin untuk menganjurkan kempen kutipan e-waste di pintu masuk utama CityONE bagi mengutip komputer usang untuk dikitar semula.

Para pengunjung yang membawa minimum CPU atau monitor atau set lengkap komputer riba ke tempat kutipan juga akan menerima kupon cabutan bertauh.

“Pelbagai produk dan perkhidmatan akan ditawarkan pada ekspo akan datang ini.

“Orang ramai boleh mendapatkan pengalaman alat ICT terkini seperti monitor LED lengkung, komputer riba ternipis di dunia, pencetak 3D, Internet of Things (IOT), terutamanya pada produk rumah pintar, pakej jalur lebar dan suara yang lebih berharga, percutian, produk kewangan dan pelaburan dan lain-lain lagi,” katanya.

Advertisement