Anda di sini

Bajet 2017 dijangka rangsang kuasa beli rakyat, pelaburan swasta

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bajet 2017 dijangka memberi tumpuan kepada usaha untuk merangsang kuasa beli rakyat dan pelaburan swasta. Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, lebih banyak insentif diperlukan berikutan persekitaran ekonomi luaran yang lembap.

“Ia dijangka menangani pelbagai masalah rakyat ketika kerajaan berusaha mengimbangi kedudukan kewangannya,” katanya pada taklimat ekonomi MIER di sini, kelmarin.

Zakariah berkata, kerajaan dijangka tidak akan memotong cukai barang dan perkhidmatan kerana pendapatannya dikekang oleh harga minyak mentah yang lebih rendah.

Kemerosotan akaun semasa disebabkan pengaliran keluar wang ke seberang laut akibat penghantaran balik pendapatan oleh pekerja asing serta penyederhanaan dalam eksport dengan pertumbuhan ekonomi global yang lembap, katanya, adalah satu lagi kebimbangan dalam kewangan kerajaan.

Dalam hal ini, Zakariah berkata, wujud keperluan untuk peruntukan dalam Bajet 2017 bagi merangsang eksport Malaysia.

Menurut beliau, dengan kelembapan dagangan dan pertumbuhan ekonomi global, peningkatan ketidaktentuan dalam ekonomi China dan pilihan raya presiden AS, wujud keperluan bagi merangsang perbelanjaan pengguna serta pelaburan swasta.

“Malaysia adalah negara perdagangan dan terjejas oleh kelembapan global,” katanya.

Beliau berkata, pelepasan cukai perlu diberikan untuk meningkatkan pendapatan boleh belanja.

“Hutang isi rumah yang tinggi, iaitu kira-kira 90 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, bukan satu kerja mudah untuk dibendung.  Penyelesaiannya ialah dengan meningkatkan pendapatan boleh dibelanja,” katanya.

Bagi tujuan ini, kata Zakariah, pengagihan wang tunai kepada golongan berpendapatan rendah boleh membantu mengurangkan kebimbangan kenaikan kos sara hidup walaupun ia adalah langkah jangka pendek.

“Bagaimanapun cara lebih berkesan dalam jangka lebih panjang ialah dengan menyediakan insentif kepada golongan berpendapatan rendah agar mereka boleh menyumbang kepada ekonomi,” katanya.

Zakariah berkata, walaupun persekitaran ekonomi yang sukar dan mencabar disebabkan arena ekonomi global yang lembap, lebihan dagangan positif Malaysia mampu mengurangkan risiko itu.

Beliau juga memuji usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dalam meningkatkan pelaburan asing ke Malaysia.

“Amerika Syarikat, Singapura, China, Jepun dan Kesatuan Eropah telah menjadi rakan kongsi dagangan utama Malaysia dengan sebahagian besar perdagangan kita adalah daripada sektor elektrik dan elektronik,” katanya. — Bernama

Advertisement