Anda di sini

Pertumbuhan KDNK 2016 pada 4.2%

Advertisement

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.2 peratus bagi 2016 berikutan faktor luaran yang terus suram.

Pengarah Eksekutifnya, Dr Zakariah Abdul Rashid berkata bagi suku ketiga tahun ini, ekonomi Malaysia berkemungkinan mencatat pertumbuhan antara 4.0-4.1 peratus.

Sektor swasta pula dijangka terus menerajui usaha memacu pertumbuhan ekonomi susulan permintaan luar yang lemah.

“Sebahagian besar pertumbuhan akan dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta berikutan pemulihan persekitaran kecairan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan pada sesi taklimat Unjuran Ekonomi Malaysia di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Zakariah berkata KDNK Malaysia berkembang sebanyak lima peratus pada tahun lepas manakala bagi 2017, pertumbuhan KDNK sebenar berkemungkinan meningkat secara sederhana kepada 4.5 dan 5.5 peratus berikutan pemulihan permintaan import.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga dijangka meneruskan dasar monetari akomodatif yang cenderung kepada perniagaan berikutan peningkatan hutang isi rumah.

Dasar itu juga dijangka berterusan bagi baki tahun ini serta tahun depan susulan kawalan paras harga, katanya.

Menurut Zakariah, BNM juga diunjur mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus sehingga akhir tahun ini selepas bertindak mengurangkannya pada Julai lepas bagi merangsang permintaan domestik dalam senario ekonomi global yang menyederhana.

Oleh itu, beliau menjangkakan BNM tidak akan menurunkan lagi kadar faedah itu dalam masa terdekat kerana dorongan sedia ada sudah mencukupi bagi mencatat prestasi ekonomi.

Bagi defisit fiskal, Zakariah yakin sasaran untuk mengurangkannya kepada 3.1 peratus tahun ini mampu dicapai hasil usaha kerajaan.

“Saya tidak meraguinya langsung. Sebagaimana yang dilihat pada bajet sebelum ini, kerajaan sememangnya serius dalam usaha membabitkan defisit fiskal,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga menyasarkan untuk menurunkan defisit fiskal kepada 3.1 peratus daripada KDNK berbanding 3.2 peratus pada 2015.

Malah, katanya, kalangan pakar ekonomi menjangkakan angka itu akan mencecah  3.0 peratus pada 2017.

Menyentuh aspek perdagangan, Zakariah berkata MIER menyemak turun pertumbuhan eksport bersih tahunan daripada 1.2 peratus yang disasarkan pada April kepada 0.5 peratus berikutan kadar pertumbuhan eksport yang lebih perlahan.

“Import dijangka berkembang lebih kukuh kepada 2.9 peratus tahun ini berbanding 1.2 peratus tahun lepas, sebahagian besarnya bagi barangan modal dan segera yang juga disasarkan bagi pengeluaran dan eksport masa depan.

“Kami mengekalkan unjuran terhadap sektor luaran kerana tiada sebarang perkembangan penting yang mempengaruhi aliran dagangan Malaysia,” katanya. — Bernama

Advertisement