Anda di sini

Infrastruktur pemangkin kepada ekonomi

Advertisement

Bawa banyak faedah kepada masyarakat dalam jangka masa segera dan jangka panjang

 Najib melawat tapak pameran selepas menyampaikan ucaptama sempena Simposium Tahunan Pengangkutan Awam Darat 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin. — Gambar Bernama

TELITI: Najib melawat tapak pameran selepas menyampaikan ucaptama sempena Simposium Tahunan Pengangkutan Awam Darat 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pelaburan lebih RM70 bilion dalam projek-projek infrastruktur pengangkutan awam mempunyai kesan pemangkin yang besar terhadap ekonomi Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pelaburan dalam projek-projek seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Aliran Transit Massa (MRT) dan Keretapi Laju (HSR), mempunyai kesan pemangkin yang besar ke atas ekonomi kita.

“Ia akan membawa banyak faedah kepada masyarakat, baik dalam jangka masa segera dan jangka panjang,” katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada majlis pelancaran Laporan Lima Tahun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Pameran dan Simposium di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Beliau berkata dalam tempoh lima tahun lepas, Malaysia telah mengambil langkah penting dan mencapai kemajuan dalam Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat Kebangsaan, yang menyaksikan bahagian mod pengangkutan awam meningkat kepada 22 peratus pada 2015 daripada 10 peratus pada 2009.

Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan bahagian ini kepada 40 peratus menjelang akhir 2020, kata beliau.

“Bagi mencapainya, dasar dan sistem pengangkutan awam darat kita mesti lebih menumpukan kepada pengguna dan responsif kepada perubahan asas demografi.

“Lebih penting lagi, pengguna mesti diyakinkan bahawa pengangkutan awam boleh memenuhi keperluan mereka, dan membolehkan mereka ke destinasi mereka dengan pasti dan selesa,” katanya.

Antara pelaburan yang dibuat oleh kerajaan bagi pengangkutan awam darat ialah RM40.85 juta bagi perkhidmatan bas percuma bandar, GoKL, dan RM548 juta bagi inisiatif perkhidmatan bas dikenali sebagai Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti (ISBSF).

Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah melabur RM20.6 juta bagi pengoperasian perkhidmatan myBAS oleh SPAD di Kangar sejak Ogos 2015, di Seremban mulai Januari 2016 dan di Ipoh bermula Jun 2016.

Selain itu, kerajaan juga telah memperuntukkan RM760 juta bagi kerja-kerja pembaikan, pemulihan dan menaik taraf bagi laluan Pantai Timur dari Gemas ke Tumpat.

Selain itu, sebanyak RM661 juta telah dilaburkan dalam Bas Transit Sunway Rapid, projek perintis melalui perkongsian awam-swasta yang mula beroperasi pada Jun 2015.

Pada Mac 2012, kerajaan meningkatkan kapasiti perkhidmatan KTM Komuter dengan melabur RM1.89 bilion untuk menambah 38 unit tren enam gerabak.

Ini telah menyumbang kepada peningkatan 45 peratus dalam bilangan penumpang KTM Komuter daripada 96,798 setiap hari pada 2012 kepada 141,281 penumpang sehari pada akhir 2015.

Kerajaan juga telah melabur untuk menaik taraf infrastruktur lama KTM Komuter, dengan pelaburan sebanyak RM1.41 bilion bagi kerja-kerja pemulihan landasan berkembar berusia 20 tahun di Lembah Klang, kata Najib. — Bernama

Advertisement