Anda di sini

Kunjungan muhibah KPD Kudat disambut mesra

Advertisement

KUDAT: Kunjungan Muhibah Ketua Polis Daerah, Superintenden Douglas Nyeging Taong bersama-sama dengan pegawai-pegawai kanan dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat telah disambut mesra oleh jemaah Masjid Jamek Kampung Pengaraban dan Surau Kampung Bak-Bak di sini, baru-baru ini.

Douglas dan pegawai-pegawainya telah disambut begitu mesra dan baik oleh para jemaah yang berada di kedua-dua tempat itu.

“Saya dan pegawai saya menerima layanan yang begitu baik sekali malah mereka juga mudah mesra dengan kami,” katanya ketika menghubungi Utusan Borneo kelmarin.

Katanya, jelas sekali keramahan masyarakat di kedua-dua kampung ini yang begitu senang menerima kunjungan dan kehadiran bersama pegawai-pegawainya.

Douglas turut berasa begitu terharu terhadap sambutan yang diberi oleh masyarakat di kedua-dua kampung itu.

“Harapan saya, hubungan antara masyarakat di daerah ini dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terus berjalan baik dan mesra, sesuai dengan slogan, Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada,” katanya.

Douglas memberitahu bahawa tujuan kunjungan muhibah itu adalah untuk suai kenal bersama jemaah di masjid dan surau itu.

Pada masa kunjungan itu, beliau turut memberikan taklimat ringkas berhubung isu keselamatan serta kerjasama masyarakat kepada polis dalam membanteras dan mencegah kegiatan jenayah yang berlaku di tempat mereka.

Katanya, sebagai mata dan telinga kepada PDRM, sudah sewajarnya masyarakat memberi kerjasama kepada PDRM terutama sekali dalam soal keselamatan.

“Saya juga memohon kepada masyarakat di daerah ini agar membantu PDRM dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman daerah ini,” katanya.

Douglas memberitahu bahawa kedua-dua program yang diadakan di Masjid Jamek Kampung Pengaraban dan Surau Kampung Bak-Bak Kudat mendapat sambutan yang baik.

Katanya, ini juga salah satu pendekatan PDRM untuk mendekati masayarakat di daerah ini

Advertisement