Anda di sini

Banjir kilat melanda Lahad Datu, dua kampung terjejas teruk

Advertisement

LAHAD DATU: Kampung Sapagaya dan Silam yang terjejas teruk akibat banjir kilat kelmarin mahu kerajaan segera bertindak menyelesaikan masalah bekalan air bersih dan infrastruktur di perkampungan itu.

Ini berikutan hampir 500 penduduk di kedua-dua kampung tersebut terjejas aktiviti harian mereka akibat terputus laluan ke jalan utama dan terdedah ancaman banjir kilat pada masa akan datang.

Pemaju Mukim Silam, Mohd Hashim Mohd Hassan berkata setelah meninjau kawasan yang terlibat di Kampung Silam beliau mendapati satu jambatan konkrit yang baharu siap musnah dan ini menimbulkan masalah kerana ianya menjadi laluan utama penduduk kampung.

“Selain jambatan yang musnah, penduduk kampung juga terputus bekalan air berikutan hos air putus,” katanya.

Hashim yang mewakili masyarakat kawasan mukim Silam memohon agar kerajaan dan pihak yang berkenaan segera mengatasi permasalahan tersebut kerana ia membebankan penduduk kampung.

Sementara itu, di Kampung Sapagaya tinjauan mendapati air mula surut apabila hujan berhenti pada awal pagi.

Seorang penduduk kampung Rasfairul Shah Abd Rashid berkata, dia memantau keadaan banjir mulai sekitar jam satu pagi hinggalah hujan berhenti.

“Di kampung ini ada siren pengesan banjir dan apabila ia mula bunyi kami akan mula memindahkan barang terutamanya kereta ke kawasan yang lebih tinggi.”

“Namun, malam tadi siren tidak kedengaran, mungkin angin terlalu kuat tapi sejak jam tiga pagi lagi saya sudah mula mengejutkan ahli keluarga dan menghubungi keluarga di rumah lain agar bersiap sedia,” katanya.

Menurutnya, setiap kali berlakunya banjir akan ada barang yang rosak terutama peralatan elektrik dan perabot di rumahnya.

Pegawai Kemajuan Masyarakat DUN Lahad Datu Amat Kawoh ketika dihubungi berkata, keadaan bajir kilat yang berlaku di kampung tersebut berpunca daripada projek tambatan banjir yang belum dapat dilaksanakan.

“Keperluan penduduk di kampung itu begitu mendesak kerana setiap kali hujan turun tidak berhenti-henti maka banjir kilat akan berlaku berikutan aliran air yang tidak dapat menuju ke kawasan yang sepatutnya.”

“Projek itu telah lama dirancang dan diharap kerajaan dapat melihat keperluan rakyat ini sebagai sesuatu yang mendesak kerana kawasan ini sudah sekian lama menghadapi masalah banjir,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mohd Apandi Mahmood berkata pasukan bomba mula menerima panggilan jam 1.42 pagi dan telah ke Batu Lapan Jalan Silam.

“Pasukan bomba telah bertindak memantau kawasan tersebut namun tidak ada perpindahan dilakukan di lokasi tersebut dan anggota balik jam 4.13 pagi,” katanya

Dimaklumkan juga tidak ada pokok tumbang atau sebarang kerosakan yang memudaratkan dilaporkan.

Advertisement