Anda di sini

USDA gesa kerajaan secara rasmi guna istilah ‘Dusun’

Advertisement

KOTA KINABALU: Persatuan Dusun Sabah Bersatu (USDA) menggesa kerajaan Malaysia secara rasmi menggunakan istilah ‘Dusun’ untuk merujuk kepada semua masyarakat Dusun di Sabah dalam semua borang rasmi dan dengan segera berhenti menggunakan istilah ‘lain-lain’.

Presiden USDA Datuk Dr Ewon Ebin berkata persatuan itu berpendapat memasukkan pelbagai kaum etnik dalam borang rasmi kerajaan tidak akan membebankan kerajaan dari segi kewangan.

“Sebenarnya, ini akan meningkatkan keupayaan pelbagai jabatan kerajaan untuk mengenal pasti pelbagai kaum di Sabah.

“Pada masa sama, ini juga akan membantu untuk memastikan bahawa pelbagai identiti etnik akan dikekalkan dan diiktiraf,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan majlis perjumpaan dengan pelbagai persatuan etnik Dusun di sebuah restoran terkemuka di ibu negeri.

Ewon berkata, rasional di sebalik gesaan adalah istilah Dusun telah pertama kali digunakan dalam pertuturan bahasa masyarakat Dusun di Sabah dan digunakan dalam buku-buku sejarah yang paling awal dan kesusasteraan lain untuk merujuk kepada masyarakat Dusun.

“Ia juga termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia di bawah Perkara 161 (A),” katanya.

Katanya USDA adalah salah satu persatuan tertua di Sabah khususnya dan di Malaysia amnya, telah ditubuhkan pada tahun 1961 dengan matlamat untuk mengekalkan identiti kaum dan budaya dan untuk membawa masyarakat itu ke tahap yang lebih tinggi dengan pencapaian dalam pembangunan budaya, ekonomi dan sosial serta cuba untuk mengambil bahagian dalam pembangunan di negeri ini dari peringkat awal.

“Istilah Dusun adalah sama sekali tidak bersifat merugikan kerana beberapa pihak berfikir dan ia tidak akan menghalang masyarakat ini daripada bergerak ke hadapan dalam setiap bidang yang diceburi,” katanya.

Perjumpaan itu turut dihadiri Timbalan Presiden USDA Datuk Kalakau Untol, Setiausaha Agung USDA Boby Lewat, Presiden Persatuan Tatana Sabah Tan Sri Wences Angang, Presiden Persatuan Suang Lotud Sabah (PSLS) Dato Freddy Sua, Presiden Persatuan Dusun Subpan Segama Lahad Datu Baginda Rumokoi, Presiden Persatuan Kaum Sukang Sabah Aloi Ahlian dan Presiden Persatuan Kimaragang Sabah Bersatu Dato Baintin Adun.

Hadir sama, Presiden Persatuan Tobilung Bersatu Sabah (TOBISA) Muji Ampau, Setiausaha Agung Persatuan Cino Kadazan Dusun Murut Sabah James Lee, Presiden Persatuan Tindal Bersatu Sabah (USTO) James Bagah dan Presiden Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah Akian Akiew.

Advertisement