Anda di sini

Ubi kayu berpotensi jadi tanaman industri

Advertisement

SANDAKAN: Fakulti Pertanian Lestari, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Sandakan akan menjalankan penyelidikan terhadap potensi penanaman ubi kayu yang boleh dijadikan sebagai tanaman industri.

Dekan UMS kampus berkenaan Prof Dr Wan Mohamad Wan Othman berkata, pihak universiti bakal bekerjasama dengan sebuah syarikat di Semenanjung untuk mengkomersilkan tanaman yang hasilnya boleh dipelbagaikan.

“Ubi kayu bukan sahaja boleh dijadikan sebagai produk makanan tetapi juga mempunyai potensi sebagai makanan ternakan dan hampasan malah di salah sebuah negara jiran telah berjaya menghasilkan mi daripada kanji ubi kayu,” katanya ketika sidang media di UMS Kampus Sandakan, petang Rabu.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan masa sekurang-kurangnya dalam tempoh lapan hingga 18 bulan untuk menjalankan penyelidikan yang akan mengambil kira daripada segi kandungan pembajaan dan sebagainya.

Katanya, penyelidikan untuk tempoh itu berupaya mendatangkan hasil dua kali ganda bagi mengeluarkan tanaman ubi kayu yang berpotensi besar sebagai industri selain makanan hiliran.

“Pihak kita akan memperkenalkan industri daripada penanaman ubi kayu melalui satu kerjasama dengan pihak syarikat. Kita sudah mula dengan sedikit tanaman dan akan buat penyelidikan nanti,” jelasnya.

Sebelum itu, satu taklimat tentang industri ubi kayu telah diberikan kepada Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum-Gum Datuk Zakaria Mohd Edris seterusnya dibawa melawat ke tapak kawasan penanaman di fakulti itu.

Pada sidang media yang sama, Zakaria menyambut baik usaha pelabur untuk membuka kilang pemprosesan di sini dan menggalakkan masyarakat di kawasan sekitar untuk menanam ubi kayu di kawasan terbiar supaya dapat menambah hasil pendapatan mereka.

“Saya dan rombongan daripada Biro Pembangunan Ekonomi UMNO Bahagian Libaran telah mendengar taklimat berkaitan potensi industri ubi kayu yang sangat baik kepada masa depan pemakanan di Sabah amnya Malaysia selain boleh dijadikan sebagai produk berasaskan industri lain.

“Ini merupakan satu usaha yang penting sekali di mana saya difahamkan bahawa pihak kerajaan negeri juga amat menggalakkan penanaman ubi kayu yang boleh disyorkan di negeri ini,” katanya.

Justeru katanya, pihak industri yang menggerakkan potensi ubi kayu datang ke sini untuk memberikan taklimat tentang perkembangan mereka.

“Saya menyambut baik usaha ini, lagi pun kerajaan sentiasa menyarankan bagi mempromosi ubi kayu di Sabah, yang hasilnya boleh dijadikan bermacam-macam produk,” katanya.

Sehubungan itu, Zakaria berkata penduduk sekitar wajar memanfaatkan tanah terbiar dengan menanam ubi kayu sebagai satu usaha untuk menambah pendapatan mereka.

Ia kerana katanya, setiap satu ekar yang ditanam ubi kayu boleh mencecah pengeluaran sehingga 20 tan dan sudah pasti kilang-kilang industri akan membelinya sekali gus mendatangkan pendapatan lumayan kepada penduduk.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Natures Harmony Industries Sdn Bhd yang berpejabat di Kuala Lumpur, R Meyyanathan memberitahu industri ubi kayu mempunyai pasaran yang cerah pada masa depan berikutan ia akan menggantikan plastik untuk bahan-bahan kegunaan.

“Syarikat kita telah pun melaksanakan usaha ini dan nampaknya tanaman ubi kayu boleh dijadikan pelbagai produk dan sebagai contoh pembungkusan serta juga pinggan.

“Kita akan merancang untuk membuat kilang di kawasan ini, namun ia memerlukan sokongan padu bagi menggerakkan industri penanaman ubi kayu khususnya di Sabah,” katanya.

Hadir sama pada taklimat serta lawatan itu, Pengarah Urusan M P Machinery (Malaysia) Sdn Bhd Datuk Ting Huat Kiing dan Bendahari UMNO Libaran yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Datuk Haji Salzo Asa serta beberapa ahli jawatankuasa Biro Pembangunan Ekonomi UMNO Libaran.

Advertisement