Anda di sini

Sukarelawan tidak harapkan habuan

Advertisement
 Sapawi diperhatikan oleh Rosmawati menyampaikan sijil kepada wakil peserta Dayang Maimunah Sidek.

TERIMA KASIH: Sapawi diperhatikan oleh Rosmawati menyampaikan sijil kepada wakil peserta Dayang Maimunah Sidek.

Keikhlasan memperlihatkan kualiti mereka sebagai sukarelawan: Sapawi

KUNDASANG: Jadilah sukarelawan yang ikhlas dan bukannya untuk mendapatkan habuan ataupun sebagainya.

Nasihat itulah yang dilontarkan oleh Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad kepada sukarelawan organisasi itu yang menyertai program transfomasi negara di Biro Tata Negara (BTN), di sini, kelmarin.

“Apabila kita menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan, ia biarlah ikhlas kerana apa juga yang kita sumbangkan khususnya dalam bentuk tenaga ia adalah secara rela dan ikhlas dan bukannya untuk mendapatkan sebarang habuan ataupun sebagainya,” katanya.

Menurutnya adalah amat penting setiap anggota sukarelawan memiliki sikap seumpama itu kerana ia memperlihatkan kualiti mereka sebagai sukarelawan.

Katanya, kualiti tetap menjadi keutamaan berbanding kuantiti kerana sukarelawan organisasi itu juga membawa imej Yayasan Sabah.

Beliau turut menafikan bahawa penubuhan sukarelawan Yayasan Sabah itu mahu mencari nama atau bersaing dengan mana-mana agensi termasuklah penguat kuasa yang sedia ada.

Sebaliknya katanya, penubuhan sukarelawan itu bertujuan mendekatkan organisasi itu dengan masyarakat selain mengeratkan lagi hubungan dengan jabatan, agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sedia ada.

“Keutamaan kita adalah untuk membantu dalam menangani kejadian yang tidak diinginkan seperti bencana alam dan penubuhan sukarelawan ini juga merupakan salah satu transfomasi yang dilaksanakan oleh Yayasan Sabah,” katanya.

Seramai 60 peserta terpilih untuk menyertai program tersebut melibatkan setiap Zon Yayasan Sabah di negeri ini.

Hadir sama pada majlis itu termasuklah Timbalan Pengarah Yayasan Sabah Datuk Rosmawati Lasuki, Setiausaha Korporat Yayasan Sabah Dr Karim Samsuri dan Penolong Pengarah Kanan Biro Tatanegara Sabah Shonitah Terang.

Advertisement