Anda di sini

CIDB keluar kompaun terhadap 20 kontraktor asing di Genting Highlands

Advertisement
 Pekerja warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan selepas diperiksa dalam operasi oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di tempat pembinaan sekitar Genting Highlands semalam. — Gambar Bernama

DITAHAN: Pekerja warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan selepas diperiksa dalam operasi oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di tempat pembinaan sekitar Genting Highlands semalam. — Gambar Bernama

BENTONG: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pahang mengeluarkan kompaun bernilai RM50,000 setiap satu terhadap 20 kontraktor asing yang terlibat dalam pembinaan taman tema Twentieth Century Fox di Genting Highlands di sini, semalam.

Pengarahnya Rozaiman Hassan berkata kontraktor Eropah dan China itu didapati menjalankan kerja-kerja pembinaan tanpa mempunyai perakuan pendaftaran sah daripada CIDB.

Perbuatan itu merupakan kesalahan mengikut Seksyen 25(1) Akta CIDB 520 (Pindaan) 2011 yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM100,000.

“Sehubungan itu, kita menasihatkan kontraktor asing yang tidak berdaftar dengan CIDB untuk berbuat demikian secepat mungkin,” katanya selepas operasi bersepadu dike-tuai CIDB Pahang di sini, semalam.

Operasi selama empat jam bermula jam 9 pagi itu turut disertai 80 pegawai Penguat Kuasa CIDB, Jabatan Imigresen Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang.

Rozaiman berkata CIDB juga memeriksa 300 pekerja warga asing di tapak pembinaan itu dan mendapati 100 pekerja tidak memiliki kad perakuan pekerja binaan atau kad hijau, 14 memegang kad hijau tamat tempoh dan empat mempunyai kad hijau palsu.

“Perbuatan itu merupakan kesalahan mengikut Seksyen 33(1) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000.

“Bagi kesalahan tidak memiliki kad hijau, kompaun dikenakan sebanyak RM5,000 seorang manakala amaran dikeluarkan kepada majikan pemegang kad hijau tamat tempoh untuk mereka memperbaharui kad hijau,” katanya.

Beliau berkata bagi ke-salahan kad hijau palsu pula, CIDB akan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Mereka yang terlibat kebanyakannya rakyat Indonesia dan Bangladesh, katanya.

Menurutnya seramai 44 pekerja asing ditahan Jabatan Imigresen kerana kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tiada permit kerja.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) JKKP negeri Roznizawati Baharum berkata pihaknya mengeluarkan satu notis larangan dan satu notis pembaikan di bawah Seksyen 15(1) Akta JKKP 1994 (Akta 514).

“Notis larangan berkaitan dengan penggunaan perancah yang tidak mengikut spesifikasi betul manakala notis penambahbaikan adalah berkaitan kekemasan dan kebersihan tempat kerja,” katanya. — Bernama

Advertisement