Anda di sini

Pembiayaan perumahan perlu diberi keutamaan dalam Bajet 2017

Advertisement

KUALA LUMPUR: Portal hartanah dalam talian, PropertyGuru, berpendapat akses kepada pembiayaan perumahan perlu diberi keutamaan dalam Bajet 2017 seiring peningkatan penawaran rumah mampu milik.

PropertyGuru berkata langkah tertentu perlu diambil untuk mengembalikan keyakinan pengguna dan merangsang semula pasaran  perumahan susulan kemerosotan pasaran hartanah Malaysia.

“Kajian sentimen pengguna baru-baru ini menunjukkan penolakan permohonan pinjaman masih menjadi antara sebab utama kurangnya transaksi.

“Bagaimanapun hasrat untuk membeli rumah masih tinggi dengan 56 peratus pengguna mengatakan hasrat membeli hartanah tahun ini,” kata portal itu dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut PropertyGuru, data Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) pula menunjukkan hanya 7,172 unit rumah baharu dilancarkan pada separuh pertama 2016 berbanding 9,938 unit pada separuh kedua 2015.

Daripada jumlah berkenaan, hanya 39 peratus unit yang dilancarkan pada separuh pertama 2016 telah terjual berbanding 62 peratus pada separuh kedua 2015, kata kumpulan hartanah dalam talian tersebut.

Oleh itu, PropertyGuru mencadangkan supaya nisbah plot kawasan pembangunan perumahan ditingkatkan di samping penilaian kelayakan pinjaman berdasarkan pendapatan kasar dengan tempoh pinjaman dilanjutkan sehingga 40 tahun.

“Selain itu Skim Tanggungan Faedah Pemaju (DIBS) boleh ditawarkan kepada kumpulan pembeli rumah kali pertama tetapi dengan kriteria lebih ketat berdasarkan kelayakan pendapatan dan jenis hartanah,” menurut PropertyGuru.

Selain itu, menurut portal berkenaan, pengurangan Kadar Dasar Semalaman baru-baru ini tidak memberi kesan ketara kepada sektor hartanah.

“Pengurangan seterusnya, yang lebih besar, diperlukan pada penghujung 2016 supaya ia memberi impak positif.

“Pengurangan kadar faedah sebanyak 0.5 hingga satu peratus untuk pembeli rumah kali pertama bagi rumah mampu milik boleh dipertimbangkan sebagai insentif khas dalam membantu mereka,” kata PropertyGuru.

Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata lazimnya pemaju tidak berhasrat menjadi pembiaya, memandangkan ia akan menyebabkan pemaju terpaksa menggabungkan modal yang boleh digunakan untuk membeli tanah dan memajukan projek.

“Statistik kami menunjukkan 84 peratus pembeli hartanah mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah. 47 peratus memilih mendapatkan margin pinjaman 90 peratus, sementara 25 peratus memilih margin pinjaman antara 70 dan 80 peratus,” kata beliau. — Bernama

Advertisement