Anda di sini

10,000 anggota APM sedia diatur gerak hadapi banjir

Advertisement

Koordinasi dan komunikasi sudah diperkemaskan

 Selamat beramah mesra bersama pegawai dan anggota APM sempena Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyerahan Watikah Perlantikan Pegawai Bersekutu, Pegawai Pasukan dan Pegawai Tidak Bertauliah Bagi Tahun 2016 di Seremban, semalam. — Gambar Bernama

PELANTIKAN: Selamat beramah mesra bersama pegawai dan anggota APM sempena Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyerahan Watikah Perlantikan Pegawai Bersekutu, Pegawai Pasukan dan Pegawai Tidak Bertauliah Bagi Tahun 2016 di Seremban, semalam. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Sebanyak 10,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedia diaturgerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi bencana banjir.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APM Datuk Selamat Dahalan berkata APM juga telah memperkemaskan koordinasi dan komunikasi bagi melancarkan proses bantuan yang akan diberikan kelak.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat telah mengadakan mesyuarat persiapan pada bulan lepas yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua minggu lepas dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri DatukSeri Shahidan Kassim untuk memantau persiapan di setiap negeri.

“Kita (APM) juga di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah  adakan mesyuarat yang turut disertai polis, bomba, Jabatan Pengairan dan Saliran dan yang berkaitan untuk melihat persediaan dari segi logistik, kekuatan keanggotaan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada majlis Pemakaian Pangkat dan Penyerahan Watikah Pelantikan Pegawai Bersekutu, Pegawai Pasukan dan Pegawai Tidak Bertauliah di sini semalam.

Selamat berkata selain itu, APM pusat bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengadakan beberapa latihan bagi mempersiapkan anggota yang terlibat sebelum melakukan tugas mereka ketika bencana.

“Latihan termasuk ‘table talk’ dan latihan sebenar untuk kita biasakan koordinasi, pemahaman komunikasi dan kebolehkeupayaan aset yang dimiliki setiap agensi terlibat untuk digunakan secara bersama.

“Sekarang ini, kita tumpukan persiapan sebelum bencana, termasuk bekalan makanan, kenal pasti lokasi pendaratan helikopter, menambah pusat pemindahan dan perbaiki kemudahan di pusat pemindahan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata orang ramai diharap agar mempunyai kesedaran untuk membuat persiapan sebelum menghadapi musim banjir.

“Orang ramai sentiasa diuar-uarkan agar mereka lebih proaktif dan membuat persiapan yang diperlukan sebelum berlakunya bencana.

“Pastikan peralatan yang perlu diselamatkan, kita asingkan dahulu. Berpindah sebelum bencana adalah langkah terbaik bagi mengelakkan keadaan yang kelam kabut… kalau air sudah sampai pinggang baru nak pindah, susah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Selamat turut berharap dengan penjenamaan semula  Jabatan Pertahanan Awam Malaysia sebagai APM, tiga aspek iaitu jumlah keanggotaan, aset, dan keupayaan dimiliki APM dapat disokong dengan sumber kewangan mencukupi. — Bernama

Advertisement