Anda di sini

Indeks utama Bursa uji paras 1,700 mata tahun depan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka menguji paras 1,700 mata pada tahun depan sejajar jangkaan harga minyak mentah dan pasaran tukaran asing kembali stabil.

Naib Presiden Jupiter Securities Sdn Bhd Nazarry Rosly berkata pasaran saham tempatan yang sememangnya sensitif terhadap pergerakan minyak mentah, berkemungkinan mendapat sokongan lanjut apabila tekanan terhadap kelemahan harga minyak menjadi reda.

“Harga minyak kini menunjukkan tanda-tanda mencecah paras hampir AS$50 setong, ringgit pula pada paras 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat manakala FBM KLCI turut mendapat sokongan dan mengukuh pada tahap melebihi 1,600.

“Ini menjadi petanda yang ekonomi negara juga stabil. Saya berpendapat paras 1,700 mata itu boleh dicapai pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media di ‘Santai Labur PNB’ anjuran Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), di sini, semalam.

ASB adalah di bawah Permodalan Nasional Bhd (PNB) iaitu syarikat pengurus dana terbesar Malaysia.

Mengulas prospek ringgit, Nazarry berkata dalam senario terburuk sekalipun, peluang unit tempatan itu di Bursa Malaysia masih ada, terutamanya kaunter berorientasikan eksport.

Pada masa ini petunjuk utama berkenaan berkemungkinan mendatar atau dalam jajaran dagangan atau meningkat dan peluang untuknya merosot secara mendadak pula kecil.

“Pasaran ternyata tidak memberi reaksi negatif terhadap senario politik dalam negara, termasuk akibat perkembangan membabitkan ketegangan antara penyokong baju merah dan kuning, baru-baru ini.

“Penggiat ekuiti lebih berminat mengaitkan ketidaktentuan pasaran dengan isu yang mempengaruhi pasaran Amerika Syarikat (AS) seperti pemilihan Presidennya dan kadar faedah,” katanya.

Menurut Nazarry, di peringkat domestik misalnya, pasaran saham akan lebih tinggi jika regim kadar faedah adalah rendah seperti yang berlaku susulan keputusan Bank Negara Malaysia menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus pada pertengahan tahun ini.

“Apabila OPR dan kadar faedah itu rendah, orang ramai akan mencari peluang untuk membuat pinjaman dan melabur dalam produk-produk PNB yang masih memberi pulangan kompetitif.

“Malah, dalam persekitaran ekonomi semasa yang mencabar, pulangan pelaburan sebanyak 6-7 peratus juga dianggap sudah cukup baik. PNB terbukti memberikan dividen yang menarik bagi unit saham amanahnya sejak mula ditawarkan sehinggalah sekarang,” katanya. — Bernama

Advertisement