Anda di sini

Bot dinaiki 10 pemancing berjaya dijumpai

Advertisement

 Bot yang dipercayai digunakan oleh para pemancing dijumpai berdekatan dengan perairan Pulau Mantanani.

SELAMAT: Bot yang dipercayai digunakan oleh para pemancing dijumpai berdekatan dengan perairan Pulau Mantanani.

KOTA KINABALU: Sebuah bot membawa sekumpulan 10 pemancing serta tiga krew yang dilaporkan hilang telah dijumpai.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Sabah dan Labuan Mohd Zubil Mat Som berkata, kesemua mereka yang dijumpai berdekatan dengan perairan Pulau Mantanani berada dalam keadaan selamat.

“Maritim Malaysia mengesahkan perkara ini apabila berjaya menghubungi krew bot berkenaan pada jam 2.20 petang tadi (kelmarin). Kesemua krew berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika di sini kelmarin.

Pada Ahad lalu katanya, sebuah bot membawa sekumpulan 10 pemancing serta tiga krew dilaporkan hilang selepas gagal kembali ke pangkalan di Kota Kinabalu selepas keluar menuju ke Pulau Mengalum dan Pulau Mantanani sejak 7 Oktober lalu.

Katanya, bot yang dinaiki para pemancing itu dipercayai mengalami masalah teknikal disebabkan keadaan angin yang kuat dan laut bergelora.

“Bot berkenaan sepatutnya kembali ke pangkalan petang Ahad lalu. Bot itu membawa 10 pemancing warga tempatan dan bertolak dari jeti Pemasaran Perikanan Sabah (SAFMA) ke Pulau Mengalum dan Pulau Mantanani untuk aktiviti memancing selama tiga hari dua malam.

“Selepas menerima laporan kehilangan bot, Kapal Diraja (KD) Jerong dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Kapal Maritim (KM) Memmon giat melaksanakan pencarian di kawasan perairan Pulau Mantanani,” katanya.

Menurutnya posisi terakhir bot berkenaan dilaporkan di perairan 25 batu nautika timur laut Pulau Mantanani.

“Keadaan laut ketika laporan adalah ketinggian ombak mencapai 2.5 hingga 3.5 meter dengan kelajuan angin 40 hingga 50 kilometer sejam.

“Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) juga mendapatkan bantuan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) dan unit udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu untuk operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Advertisement