Anda di sini

Wujud lebih banyak klinik desa

Advertisement

Mengimbangi pemberhentian khidmat doktor udara: Ronald

 Ronald (depan) menaiki bot untuk berjumpa rakyat di Kampung Munungan.

TURUN PADANG: Ronald (depan) menaiki bot untuk berjumpa rakyat di Kampung Munungan.

BELURAN: Pengwujudan lebih banyak klinik desa perlu bagi mengimbangi pemberhentian perkhidmatan doktor udara di luar bandar Sabah seperti yang diumum oleh Kementerian Kesihatan, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jika tidak dilakukan ia akan menyulitkan penduduk luar bandar khususnya di Parlimen Beluran yang masih memerlukan perkhidmatan doktor udara.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata beberapa kampung di Parlimen Beluran seperti di Waigon, Tagapalang, Matanggal Kinadaan, Lubang Buaya dan Nakadong, penduduknya masih bergantung kepada khidmat doktor udara.

“Jika dihentikan perkhidmatan itu, penduduk kampung berkenaan akan merasai kesan dengan keputusan Kementerian Kesihatan itu,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Munungan Paitan, di sini, kelmarin.

Hadir sama ialah Ketua Pemuda UMNO Beluran Samad Jambri.

Ronald berkata perkhidmatan bas bergerak seperti yang dicadangkan Kementerian Kesihatan bukan alternatif untuk beberapa kampung di kawasan Beluran disebabkan jalan perhubungan kampung yang masih tidak sempurna.

Beliau bersetuju perkhidmatan doktor udara membebankan dari segi kos.

Bagaimanapun, katanya, ia seharusnya telah lama dikaji oleh Kementerian Kesihatan dan tidak perlu tunggu hingga 40 tahun.

Beliau berharap penjimatan daripada pemberhentian perkhidmatan itu membolehkan kementerian berkenaan mewujudkan lebih banyak klinik desa di luar bandar.

Katanya, perkhidmatan kesihatan adalah antara isu yang dihadapi oleh penduduk luar bandar di negeri ini.

Ronald berkata pengwujudan lebih banyak klinik desa merupakan cabaran yang perlu dihadapi oleh Kementerian Kesihatan.

Advertisement