Anda di sini

KNM sasar pendapatan berulang meningkat 30 peratus menjelang 2019

Advertisement
 Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNM Group Berhad Ir Lee Swee Eng (tiga,kiri) bergambar bersama wakil bank selepas menandatangani dokumen perjanjian kemudahan pembiayaan dalam satu majlis, semalam. — Gambar Bernama

TERMETERAI: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNM Group Berhad Ir Lee Swee Eng (tiga,kiri) bergambar bersama wakil bank selepas menandatangani dokumen perjanjian kemudahan pembiayaan dalam satu majlis, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: KNM Group Bhd menyasar meningkatkan sumbangan pendapatan berulang kepada 30 peratus menjelang 2019, kata Pengarah Kewangan Kumpulan, Terence Tan.

Pertumbuhan itu, katanya, akan dipacu daripada penerokaan dalam sektor tenaga boleh baharu di Thailand melalui anak syarikat kumpulan di sana, Impress Ethanol Co Ltd (IEL).

Tan berkata kapasiti pengeluaran bio-ethanol KNM dijangka meningkat kepada 400,000 liter setiap hari bagi tempoh tiga tahun pertama, dan seterusnya meningkat lagi sebanyak 200,000 liter setiap hari bagi mencapai sumbangan pendapatan berulang sebanyak 70 peratus menjelang 2021.

“Buat masa ini, hasil KNM Group diperoleh hanya melalui pendapatan daripada kontrak dan bukan pendapatan berulang. Tahun depan, projek kami di Thailand akan mula menyumbangkan pendapatan berulang,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas majlis permeteraian kemudahan jaminan KNM Group bagi bon dijaminnya berjumlah sehingga 2.78 bilion baht (100 baht=RM11.87) daripada Kemudahan Jaminan Kredit dan Pelaburan (CGIF), serta kemudahan pembiayaan RM360 juta KNM Capital (PIC) Sdn Bhd daripada Danajamin Nasional Bhd dan Affin Islamic Bank Bhd.

Tan berkata dengan bon-bon Thailand itu, KNM Group akan dapat memulakan fasa dua projek tenaga boleh baharunya di negara tersebut, yang mana kumpulan itu merancang untuk menggunakan hasil bagi membiayai semula pembiayaan hutang IEL, pengembangan masa hadapan dan perbelanjaan modal kerja bagi kilang bio etanolnya.

Manakala, kemudahan pembiayaan RM360 juta KNM Capital daripada Danajamin dan Affin Islamic, adalah berkaitan dengan pembiayaan kontrak berkenaan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KNM Group Lee Swee Eng, berkata sektor tenaga boleh baharu sedang berkembang dan penerokaan kumpulan itu ke dalam sektor tersebut, yang menyediakan pendapatan berulang, adalah sejajar dengan rancangannya untuk beralih daripada hanya semata-mata menjadi syarikat kontrak.

“Alasan kami melakukan perubahan ini ialah kerana syarikat yang bergantung semata-mata kepada kontrak sangat terdedah kepada ketidaktentuan ekonomi global dan ia akan menghadapi kitaran kontrak memandangkan keadaan ekonomi semasa,” katanya.

Lee juga berkata KNM Group berminat untuk mencari lebih banyak peluang dalam tenaga boleh baharu di Thailand sebagai sebahagian daripada pelan perancangan lima tahunnya. — Bernama

Advertisement