Anda di sini

Usahawan perlu main peranan wujudkan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar

Advertisement

 Mustapa (tiga kiri), Idris (dua kanan) serta Mohamed (dua kiri) bergambar bersama peserta selepas melancarkan program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) kelmarin. — Gambar Bernama

UNTUK KENANGAN: Mustapa (tiga kiri), Idris (dua kanan) serta Mohamed (dua kiri) bergambar bersama peserta selepas melancarkan program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) kelmarin. — Gambar Bernama

MELAKA: Usahawan di negara ini perlu memainkan peranan dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, terutama di kawasan luar bandar, bagi meningkatkan tahap ekonomi rakyat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata usahawan yang dilahirkan daripada program pembentukan usahawan seperti Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di bawah SME Corp, perlu berada di barisan hadapan bagi merealisasikan usaha ini.

Beliau berkata seramai 935 usahawan TUBE, selain menjana jualan terkumpul RM23.55 juta, berjaya mewujudkan 1,513 peluang pekerjaan untuk meningkatkan tahap ekonomi rakyat di negara ini.

“Dalam proses urbanisasi yang semakin pesat di negara ini, kurang 30 peratus penduduk berada di luar bandar atau kampung, yang menyukarkan usaha untuk wujudkan peluang pekerjaan apabila penumpuan tidak di kawasan luar bandar.

“Justeru usahawan perlu main peranan mewujudkan pekerjaan di kawasan ini, dan TUBE juga ada pelan untuk melahirkan ramai usahawan di kawasan luar bandar dan pinggir bandar ini,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera 3.0 di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara, Hutan Rekreasi Ayer Keroh di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Pengerusi SME Corp Tan Sri Dr Mohamed Al-Amin Abdul Majid.

Dalam sidang akhbar selepas perasmian itu, Mustapa berkata usahawan TUBE bermula sesi 3.0 ini akan diletakkan di bawah mentor yang merupakan usahawan telah berjaya bagi membantu usahawan baharu TUBE mencapai kejayaan dalam dunia perniagaan.

“Kita letakkan usahawan baharu TUBE selama 12 bulan di bawah mentor bagi memantau perniagaan dan belajar selok-belok perniagaan daripada mentor mereka,” katanya. — Bernama

Advertisement