TAMBUNAN: Tidak ada kes penyakit denggi yang dilaporkan di daerah ini, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
“Hospital Tambunan telah memaklumkan kepada saya bahawa setakat ini tidak ada kes denggi dikesan di daerah ini,” katanya memberitahu Utusan Borneo di sini pada Jumaat.
Pairin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan telah menyertai program Gotong-Royong Perdana yang diadakan secara serentak di seluruh daerah ini melibatkan semua pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan dan pertubuhan bukan kerajaan.
Turut serta pada program itu Pegawai Daerah Thomas Logijin, Ketua Daerah OKK Philip Datuk Kitingan, Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur Welfredoline Jakil, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tambunan Silverius Bruno, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Keningau Augustine Nain, Ketua Wanita UMNO Tambunan Amelia Ajun, Ketua Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Cyril Yansalang, Pegawai Pembangunan Daerah Laiwon Dalus dan pegawai-pegawai kerajaan lain.
Terdahulu, senamrobik telah diadakan diikuti dengan ceramah mengenai nyamuk aedes dan virus Zika yang disampaikan oleh Pengarah Hospital Tambunan Dr Evelyn Sunggip di Pisompuruan Square, di sini.
Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata, program ini adalah berkaitan dengan pembersihan kawasan persekitaran pekan, kampung-kampung, bangunan-bangunan pejabat kerajaan, sekolah-sekolah, masjid dan gereja yang dibuat serentak.
“Daerah ini bebas dari penyakit denggi dan virus Zika ketika ini tapi pada masa yang sama keprihatinan oleh Jabatan Kesihatan turut membuat pemeriksaan pada keseluruhan pekan dan rumah-rumah perkampungan tidak ada mengesan pembiakan nyamuk aedes.
“Apabila pemeriksaan dibuat di kawasan kebun-kebun banyak tempat yang membimbangkan kerana biasanya di kebun ini boleh berlaku pembiakan nyamuk Aedes terutama tempat-tempat yang terdapat tekungan air,” katanya.
Katanya, apabila petani sudah selasai bekerja dan balik ke rumah, kadang-kadang terlupa kasut yang ditinggalkan menjadi tekungan air termasuklah tunggul bambu yang ditebang terdedah dengan tekungan air.
Pairin meminta para petani agar dapat mempastikan bahawa tidak berlaku tekungan air dari hasil kerja yang dilaksanakan di kebun termasuk sisa buangan bambu dan juga tempurung kelapa.
Katanya, jangan biarkan kawasan kebun tempat pembiakan nyamuk aedes dan mereka hendaklah memastikan semua sisa buangan yang boleh menakung air perlu dihapuskan.
Menurut beliau, semua pihak perlu memahami dan menyedari bahayanya penyakit denggi kesan daripada pembiakan nyamuk aedes.
“Program gotong-royong ini termasuk ceremah mengenai dengan aedes dan Zka adalah menyedarkan kita bahawa kawasan persekitaran sentiasa bersih daripada pembiakan nyamuk aedes.
“Saya amat menyokong usaha ini kerana ia amat bermanfaat kepada kita dalam penjagaan kesihatan daripada serangan nyamuk aedes dan virus Zika dan langkah awal yang dibuat oleh kerajaan dapat menyelamatkan nyawa penduduk daripada serangan penyakit ini,” katanya.
Beliau juga mengharapkan agar program seumpama ini adalah sebagai langkah awal pencegahan penyakit ini kerana mencegah itu lebih baik daripada merawat.
Pairin juga berharap agar program ini dapat meningkatkan kesedaran dan penglibatan mereka dalam usaha memastikan kesihatan diri terus terjamin daripada jangkitan penyakit yang berbahaya terutama aedes dan Zika.