Anda di sini

Peraturan, dasar kastam di Labuan berkuat kuasa 1 November: Zulkifli

Advertisement

LABUAN: Peraturan-peraturan dan dasar Kastam Diraja Malaysia untuk mengenakan peraturan yang ketat bagi aliran keluar kenderaan berdaftar di Labuan ke tanah besar dan peraturan baharu mengenai kedai bebas cukai (KBC) akan berkuat kuasa bulan depan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan GST) Datuk Zulkifli Yahya berkata peraturan itu ditangguhkan sehingga 1 Nov dari Ogos tahun ini selepas mengambil kira input dan pandangan daripada pelbagai pihak.

“Seperti dinyatakan oleh Ketua Pengarah sebelum ini, peraturan itu akan dilaksanakan pada 1 Nov.

Saya tidak menerima apa-apa aduan mengenai pelaksanaannya daripada mana-mana pihak,” kata beliau kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin dewan perniagaan, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan wakil KBC Labuan di sini kelmarin.

Beliau berkata kenderaan berdaftar di Labuan dengan kapasiti enjin (cc) dari 2,501cc dan ke atas memerlukan jaminan bank sebanyak 50 peratus daripada penilaian CIF (Kos, Insurans dan Pengangkutan).

“Mereka yang memiliki kenderaan berdaftar di Labuan dengan kapasiiti enjin di bawah 2,500cc hanya dikehendaki membayar bon am selaras dengan amalan sekarang,” kata beliau.

Beliau berkata jumlah kedai bebas cukai berdaftar di Labuan ialah 21 dan oleh itu, beliau mengingatkan mereka yang berminat untuk menubuhkan KBC supaya mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard untuk kelulusan.

Sementara itu, pengerusi MCA Labuan Datuk Chin Hon Vui berkata penguatkuasaan sepenuhnya peraturan dan dasar baharu mengenai kenderaan berdaftar di Labuan akan menjejaskan komuniti perniagaan terutama mereka yang terlibat dalam pengangkutan barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran ke pulau itu.

“Kami telah menghadiri taklimat dengan Datuk Zulkifli pada Khamis dan kelmarin, dan menyuarakan kebimbangan mengenai peraturan baharu itu. Kami telah mencadangkan tindakan tegas ke atas mereka yang mengabaikan peraturan tersebut.

Beliau menyokong kenyataan oleh perdana menteri dan timbalan perdana menteri baru-baru ini bahawa Labuan akan terus mengekalkan status bebas cukai.

“Tetapi peraturan dan dasar baharu bagi mengehadkan penjualan barangan bebas cukai akan menjejaskan status bebas cukai pulau tersebut. Peraturan yang akan berkuat kuasa itu tidak membenarkan pengendali kedai kopi, kedai runcit, kedai kecil menjual barangan bebas cukai,” katanya.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli menarik perhatian tentang kesan terhadap sebarang langkah untuk mengehadkan jumlah perniagaan yang mengimport minuman alkohol dan tembakau selaras dengan status bebas cukai pulau itu. — Bernama

Advertisement