Anda di sini

311 kanak-kanak dirai sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-62 TYT Sabah

Advertisement

 Toh Puan Norlidah (tengah) bersama-sama Faridah (kiri) dan Jainab (kanan) bermesra dengan kanak-kanak yang diraikan.

TUMPUAN: Toh Puan Norlidah (tengah) bersama-sama Faridah (kiri) dan Jainab (kanan) bermesra dengan kanak-kanak yang diraikan.

KOTA KINABALU: Seramai 311 kanak-kanak istimewa dan anak yatim diraikan dalam jamuan teh sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Ke-62 Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Juhar Mahiruddin di salah sebuah hotel terkemuka dekat sini, petang kelmarin.

Ketibaan Tun Juhar bersama isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni disambut oleh Menteri Belia dan Sukan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Majlis dimulakan dengan persembahan nyanyian, tarian dan drama tari daripada para pelajar Sekolah Rendah (SK) Sembulan serta beberapa sekolah dan institusi kebajikan yang amat berbakat.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian sumbangan kepada 31 institusi-institusi kebajikan termasuklah Kompleks Pemulihan Orang Kurang Upaya, taman didikan, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), persatuan-persatuan kebajikan, sekolah-sekolah rendah pendidikan khas, rumah amal dan anak yatim dan sekolah-sekolah rendah yang terpilih sekitar Kota Kinabalu.

Majlis juga diserikan dengan acara memotong kek oleh Tun Juhar dan Toh Puan diiringi dengan nyanyian lagu ‘Selamat Hari Jadi’.

Pada akhir majlis, Tun Juhar bersama isteri serta tetamu kehormat yang lain turut membahagikan kepingan kek dan buah tangan kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis berkenaan.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Panglima Radin Malleh, Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat (BAKISA) Datin Seri Panglima Datuk Faridah Tussin, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Datuk Seri Panglima Ahmad Ayid dan tetamu kehormat lain.

Advertisement