Anda di sini

PBI bina perumahan penjawat awam berkonsep gaya hidup membangun

Advertisement

MIRI: Projek pembangunan Eastwood Valley di sini, akan menyaksikan penambahan terbaharu di bawah pelan induk bersepadu, apabila pelaksanaan program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dibangunkan kelak di atas tapak seluas 517 ekar persegi.

Projek PPA1M itu kelak akan dibangun Pantai Bayu Indah Sdn Bhd (PBI) iaitu anak syarikat pemaju induk, Perdana ParkCity Sdn Bhd (salah sebuah anak syarikat bagi Kumpulan Syarikat Samling), yang pernah memenangi anugerah perbandaran menerusi projek Desa ParkCity Kuala Lumpur.

Pada masa ini, PBI juga sedang giat membangunkan Marina ParkCity, iaitu sebuah hab komersial baharu di pusat bandar raya Miri, di sini.

Marina ParkCity bakal menjadi lokasi kunjungan ramai, dengan banyak tarikan dibangun dan didatangkan bersama-samanya, menjadikan ia salah satu projek pelan mega bagi bandar komersial terancang dan berjaya di Miri setakat ini.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam, Pengurus Jualan PBI Djohan Y.W De Rozario mendedahkan bahawa pelan induk (PPA1M) yang dibangunkan atas tapak 517 ekar itu merupakan tindak balas kepada pembangunan kediaman berkonsepkan alam sekitar dan sesuatu yang ditunggu dan diperlukan masyarakat di Miri.

“Dengan Pan Borneo Highway sedang rancak dibangunkan ketika ini, projek ini berjalan seiringan sekali gus mencetuskan peluang untuk mengintegrasikan pelbagai komponen pembangunan ke dalam satu pelan induk bersepadu.

“Selain itu, kita juga mendapati bahawa permintaan untuk rumah kediaman di Miri semakin meningkat. Oleh itu, dalam usaha menampung permintaan ini, PBI mengambil peluang membangunkan kediaman dengan konsep gaya hidup membangun serta permintaan masyarakat yang didorong, inginkan lokasi strategik ini,” kata Djohan lagi.

Katanya pelan seumpama ini adalah pertama di Miri dan di bawah PPA1M ini, ia merupakan kediaman mewah untuk penjawat awam atau kakitangan kerajaan yang berpagar dan dijaga rapi, di samping turut memiliki pusat komersil, sekolah, kawasan rekreasi gaya mewah seluas 32 ekar yang serba hijau dan kawasan lapang untuk kemudahan awam seperti surau, dewan serba guna, padang sukan, tadika dan kedai serbaneka.

“Rumah teres dua tingkat ini menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada penjawat awam yang berpotensi, semasa siri jelajah promosi baru-baru ini.

“Projek itu telah dimuat naik secara rasmi ke dalam laman web rasmi PPA1M dan kini dibuka untuk pendaftaran,” tambahnya.

Rumah dua tingkat yang mempunyai empat bilik tidur dan tiga bilik mandi ini menampilkan reka bentuk lantai yang terbuka, dengan ruang tamu, ruang makan serta kedua-dua dapur kering dan basah, boleh dilihat tanpa ada halangan dinding.

Unit-unit ini dijual pada harga serendah RM300,000 iaitu 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran yang bernilai dalam RM420,000.

Untuk maklumat lebih lanjut, para penjawat awam dan orang ramai bolehlah menghubungi pemaju PBI di talian 085-423099 atau melayari lamannya https://[email protected].

Advertisement