Anda di sini

Kawasan hitam dadah menjadi taman MyBM

Advertisement

 Halim (kanan) menerima cendera kenangan daripada Dahlan.

BUDAYA KITA: Halim (kanan) menerima cendera kenangan daripada Dahlan.

KOTA KINABALU: Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) akan menukarkan enam kawasan hitam penagihan dadah di negeri ini kepada Projek My Beautiful Malaysia (MyBM) yang akan memasuki fasa kedua Oktober ini.

Ketua Pengarah AADK Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata pelaksanaan usaha terbabit termasuk dalam enam pendekatan yang dijalankan AADK selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan tahun ini sebagai kempen besar-besaran untuk memerangi jenayah berkaitan dadah, Februari lalu.

“Selepas pengumuman berkenaan, AADK mengambil enam pendekatan dalam usaha memerangi dadah dan salah satunya adalah dengan melaksanakan Operasi Sarang (Ops Sarang) yang dijalankan secara bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa Seminar Interaktif Peringkat Kebangsaan, Penyalahgunaan Bahan, Smart Sharing Programme (SHARP 2016) di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, kelmarin.

Turut hadir ialah Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan Professor Madya Dr Mohd Dahlan A Malek dan Pengarah AADK Sabah Bakri Bibi.

Halim berkata semasa Ops Sarang dijalankan, anggotanya akan merobohkan lokasi penagihan dadah yang dikenal pasti sebelum menggantikan kawasan penagihan dadah terbabit kepada projek MyBM iaitu dengan menukarkannya kepada kawasan riadah dan sebagainya.

Katanya sejak pendekatan terbabit dilaksanakan bermula April lalu, pihaknya berjaya menukarkan sebuah kawasan hitam penagihan dadah di Sabah menjadi taman MyBM dan empat kawasan lain bakal ditukar pada masa hadapan.

Katanya Merotai, Tawau adalah salah satu daripada 14 kawasan berisiko tinggi di seluruh negara yang diberikan fokus utama dalam usaha menghapuskan kegiatan dadah di 178 kawasan berisiko tinggi seluruh negara.

“Sepanjang operasi dijalankan, seramai 79 penagih ditahan daripada 130 anggaran keseluruhan penagih di empat kawasan penagihan utama termasuk Kampung Merotai Besar, Kuala Merotai, Tanah Merah dan Simpang.

“Penukaran kawasan di Merotai, Tawau turut menunjukkan pengurangan penagihan di kawasan terbabit dan penagih yang ditahan turut diberikan tindakan penguatkuasaan selain diberi rawatan pemulihan yang sewajarnya,” katanya.

Menurutnya AADK menyasarkan enam kawasan hitam di empat daerah termasuk Sandakan, Penampang, Manggatal, Karamunsing, Beaufort dan Keningau akan ditukar menjadi taman MyBM semasa pelaksanaan fasa kedua pendekatan bermula Oktober ini.

Advertisement