Anda di sini

GreenTech yakin IGEM 2016 lepasi sasaran RM1.5 bilion

Advertisement

IGEM terbukti jadi platform ideal untuk perniagaan hijau

KUALA LUMPUR: Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (GreenTech) yakin dapat melepasi sasaran peluang perniagaan bernilai RM1.5 bilion pada Pameran dan Persidangan Antarabangsa GreenTech dan Produk Eko Malaysia Kali Ketujuh (IGEM 2016).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Hadri Haris berkata IGEM 2015 misalnya terbukti melepasi sasaran awal RM1.2 bilion apabila menjana peluang perniagaan bernilai RM1.98 bilion.

“Kami yakin dapat melepasi sasaran itu tahun ini. Malah, berpandukan keadaan perniagaan semasa, kami mungkin dapat mencatat angka menyamai tahun lepas atau lebih lagi sejajar peluang perniagaan dari rantau ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian IGEM 2016 di sini, semalam.

Ahmad Hadri berkata, peluang perniagaan itu merangkumi pemeteraian memorandum persefahaman di IGEM itu serta kesempatan lain melibatkan para pelabur dan usahawan selain pertumbuhan teknologi hijau.

Bertemakan ‘Green Business for Sustainability,’ pameran empat hari yang menumpukan lima sektor teras teknologi hijau iaitu Tenaga Hijau, Pengangkutan Hijau, Bangunan Hijau, Pengurusan dan Teknologi Sisa serta Pengurusan dan Teknologi Air Bersih itu berjaya menarik penyertaan syarikat dari 30 negara.

Ia dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bersama GreenTech, platform bagi menggalakkan pertumbuhan sektor teknologi hijau.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata bersandarkan rekod prestasi kukuh penjanaan peluang perniagaan sebanyak RM8 bilion sejak diperkenalkan pada 2010, IGEM terbukti menjadi platform ideal untuk perniagaan hijau yang berhasrat untuk bertapak di Malaysia serta rantau ini.

“Saya sendiri yakin penekanan global terhadap sektor teknologi hijau akan membawa kepada lebih banyak usaha kolaboratif dan pertumbuhan dalam sektor berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga sudah memperkukuh komitmen serta berikrar mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Malah, Malaysia terbukti dapat mengurangkan pelepasan karbon kepada tahap 30 peratus berbanding 32 peratus tahun lepas dalam usaha menangani masalah perubahan cuaca dan pemanasan global, katanya. — Bernama

Advertisement