Anda di sini

Rampasan terbesar SPRM RM114.5 juta

Advertisement

Dua pegawai agensi kerajaan didakwa salah guna kuasa babit projek RM3.3b di Sabah

 SPRM rampas RM114.5 juta daripada dua pegawai kerajaan didakwa salah guna kuasa dalam projek RM3.3 bilion di Sabah.

TERBESAR DALAM SEJARAH: SPRM rampas RM114.5 juta daripada dua pegawai kerajaan didakwa salah guna kuasa dalam projek RM3.3 bilion di Sabah.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas RM114.5 juta daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di sini, yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah, yang merupakan kes terbesar dalam sejarah SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata rampasan itu dibuat daripada seorang pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi awam itu, selepas mereka ditahan SPRM kelmarin.

“Hasil siasatan, SPRM merampas RM75 juta daripada pejabat, rumah dan akaun bank kedua-dua suspek tersebut dan keluarga mereka,” katanya pada sidang berita mengenai kes itu di sini, semalam.

Beliau berkata selain wang tunai, SPRM juga merampas 127 geran tanah, sembilan kenderaan mewah, sebanyak 94 beg tangan jenama mewah, jam tangan mewah pelbagai jenama dan barang kemas yang kesemua nilainya belum diketahui.

Susulan penahanan kedua-dua suspek itu, katanya SPRM turut menangkap seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ dan akauntannya yang disyaki mempunyai kaitan dengan mereka.

Beliau berkata penangkapan ‘Datuk’ dan akauntannya itu membolehkan SPRM menyita kira-kira RM37 juta daripada akaun sebuah syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan seorang daripada pegawai kanan agensi awam itu.

Azam berkata SPRM turut merampas RM2.5 juta lagi daripada sebuah peti simpanan di sebuah bank milik timbalan pengarah itu.

SPRM akan membuka lima peti besi lagi dalam masa terdekat dengan bantuan pihak bank, katanya.

“Sejak penubuhan badan pencegahan rasuah 49 tahun lalu, kita tidak pernah menyita wang tunai sebanyak ini daripada individu, khususnya penjawat awam.

“Pihak kami percaya mereka juga memiliki wang di beberapa bank di luar negara,” katanya.

Beliau berkata pengarah dan timbalan pengarah itu disiasat SPRM kerana disyaki mengendalikan projek-projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 billion sejak 2010.

“Mereka juga dipercayai memonopoli kesemua projek itu dan diserahkan kepada adik-beradik mereka,” katanya sambil memberitahu suspek berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Azam berkata SPRM turut mengenal pasti beberapa individu lagi yang dipercayai bersubahat dengan kesemua suspek dan akan memanggil mereka untuk memberi keterangan tidak lama lagi.

Menurutnya jika ada pihak yang enggan memberi kerjasama, SPRM boleh mengambil tindakan tegas terhadap mereka. — Bernama

 Sebahagian daripada wang tunai bernilai RM52 juta yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dipamerkan pada sidang akhbar semalam. — Gambar Bernama

BAHAN BUKTI: Sebahagian daripada wang tunai bernilai RM52 juta yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang dipamerkan pada sidang akhbar semalam. — Gambar Bernama

 Tiga daripada empat lelaki termasuk dua pegawai kanan agensi kerajaan di Sabah dihadapkan ke Mahkamah Magistret semalam, berhubung kes monopoli pemberian projek kerajaan. — Gambar Bernama

DITAHAN: Tiga daripada empat lelaki termasuk dua pegawai kanan agensi kerajaan di Sabah dihadapkan ke Mahkamah Magistret semalam, berhubung kes monopoli pemberian projek kerajaan. — Gambar Bernama

Advertisement